Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai telah diarahkan tutup pada 18 Ogos 2018.

Oleh AMRAN MULUP

JASIN — Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan dibangunkan semula selepas beberapa infrastruktur yang menjadi mercu tanda daerah itu ditutup sewaktu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan di Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, antara yang paling menyedihkan apabila Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dibangunkan bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bernilai RM2.6 juta yang menempatkan hampir 30 agensi kerajaan telah ditutup dan dijadikan sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).

Mahkamah Syariah yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mohammad V juga diarahkan tutup.

Menurutnya, RTC yang dibangunkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) itu bertujuan untuk memudahkan penduduk setempat membuat sebarang urusan dan perkhidmatan dengan beberapa agensi kerajaan tanpa perlu pergi ke Pekan Jasin atau bandar Melaka.

“Tetapi apabila PH memerintah, RTC diarah tutup, semua 30 agensi kerajaan dan bank-bank yang ada di situ diarah menutup operasi, ini sebenarnya memberi kesan kepada penduduk yang sebelum ini mudah membuat urusan di RTC.

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) ditutup dan 30 agensi kerajaan dihalau keluar daripada meneruskan operasi.

“Justeru, saya akan berusaha untuk mewujudkan semula RTC atau apa sahaja, asalkan agensi-agensi penting kerajaan yang berkait rapat dengan penduduk dapat diwujudkan semula di sini,” ujar ketika ditemui di Japerun Sungai Rambai, semalam.

Selain itu ujar Hasan, Sungai Rambai Aerodrome yang merupakan lapangan terbang sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan mendapat
pengiktirafan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan diaktifkan semula.

Jelasnya, sewaktu PH memerintah aerodrome yang mempunyai landasan berturap untuk pesawat ringan, Terminal Menara Kawalan, hangar, pejabat, cafe dan  pernah menganjurkan Karnival Udara sejak 1999 itu tetapi malangnya telah dijadikan
tempat membela lembu.

Beliau menambah, keadaan itu telah menyekat pelbagai aktiviti untuk mengalakkan penggiat sukan penerbangan, terutamanya peminat mikrolight dan paramotor yang menarik minat golongan belia.

Sungai Rambai Aerodome di bawah Pakatan Harapan telah dijadikan tempat membela lembu.

” Selain itu, Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai yang diwujudkan oleh Kerajaan Pusat sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah telah diarahkan tutup pada 18 Ogos 2018.

“Pada hal pejabat ini dibangunkan adalah bagi memudahkan masyarakat bukan sahaja di Sungai Rambai tetapi juga di Merlimau serta kawasan sekitar untuk membuat sebarang
urusan mengenai soal tanah dan sebagainya,” ujarnya.

Bukan itu sahaja kata Hasan, malah Mahkamah Syariah yang beroperasi pada 14 Mei 2016 bersebelahan dengan Masjid Al-Hasanah  bagi memberi kemudahan pendaftaran dan
pendengaran kes-kes kepada penduduk setempat dan masyarakat sekelilingnya iaitu dari kawasan Umbai, Merlimau, Serkam, Sungai Rambai dan lain-lain kawasan yang berhampiran juga telah diarahkan tutup.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah berkenan merasmikan Mahkamah Syariah pada 2017.

“Malah Masjid Al-Hasanah juga tidak dijaga dengan baik. Apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan daripada PH, saya telah mengarahkan seluruh bangunan masjid dicat baru dan beberapa dinding yang berlumut dibersihkan,” ujarnya.

Turut dihentikan operasi kata ADUN Sungai Rambai itu ialah produk pelancongan Sungai Rambai Rivercruise yang terletak di Laman Belia 1Malaysia.

Hasan Rahman

Bukan sahaja pelbagai infrastruktur ditutup, beberapa projek utama turut dibatalkan antaranya kata Hasan ialah pembinaan Balai Polis Sungai Rambai bernilai RM27 juta, Projek Bandar Baharu di Seri Mendapat bernilai RM300 juta hasil usahasama dengan Felcra Properties, cadangan Pelabuhan Pertanian Agro Port bernilai RM15 juta dan cadangan bajet hotel islamic.

Turut dibatalkan tambah beliau lagi ialah Kiosk Mara Digital Zon Selatan bernilai RM2 juta, cadangan Resort dan lapangan golf 9 lubang, projek kilang padi beras wangi dan pembinaan mini hospital di kawasan seluas 8 ekar.

-BebasNews

Leave a Reply