Oleh Fetty Rara

SATU siasatan oleh BBC mendapati bahawa stok dua jenis ubat untuk merawat pesakit Covid-19 di India semakin susut dan sebaliknya dijual di pasaran gelap dengan harga melampau.

Ubat remdesivir dan tocilizumab yang diluluskan di India dan kini sedang diuji keberkesanannya juga dibenarkan untuk kegunaan dalam kes-kes kecemasan.

Walaupun doktor boleh memberikan preskripsi untuk ubat tersebut namun ia hampir tiada lagi dalam stok.

Disebabkan itu maka pesakit yang amat memerlukan ubat tersebut terpaksa berusaha mendapatkannya daripada pasaran gelap dengan harga yang amat tinggi.

Ia mungkin penyelesaian bagi mereka yang mampu, tetapi bagi yang miskin ia merupakan dilema perit.

Stok remdesivir dan tocilizumab ‘kehabisan’ kerana hampir kesemuanya disalurkan kepada peniaga di pasaran gelap.

Wartawan BBC yang menyamar sebagai pembeli berjaya mendapatkan penjual di pasaran gelap dan setelah berunding ditawarkan harga 30,000 rupee (RM1,716.00) untuk sebotol berbanding harga biasa 5,400 rupee (RM308.00).

Seorang lagi penjual pula hanya akan menjualnya pada harga 38,000 rupee (RM2,174) untuk sebotol.

Bagi yang mampu kedua-dua ubat itu sebenarnya bukan penyelesaian muktamad untuk rawatan kerana kajian masih dilakukan bagi betul-betul menentukan sama ada ia berkesan.

Kemunculan pasaran gelap untuk ubat-ubat tersebut ialah kerana wujudnya jurang luas di antara bekalan dan permintaan.

Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Gilead Sciences adalah yang mula sekali menghasilkan remdesivir bagi tujuan mengubati penyakit Ebola. Syarikat tersebut hanya membenarkan empat syarikat di India, iaitu Cipla, Jubilant Life, Hetero Drugs dan Mylon mengeluarkannya.

Bagaimanapun hanya syarikat Hetero yang mampu mengeluarkannya.

Syarikat tersebut telah mengagihkan sebanyak 20,000 dos remdesivir kepada lima negeri, tetapi mereka tidak tahu bagaimana boleh berlaku ketirisan bekalan.

Jurucakap Hetero, Sandeep Shahstri berkata mereka tidak pernah membekalkan ubat berkenaan kepada pihak pengedar, tetapi terus kepada hospital.

Beliau berkata apa yang berlaku amat mengecewakan kerana Hetero bekerja keras untuk memenuhi permintaan pesakit.

Dalam pada itu pihak farmasi juga berkata mereka tiada stok remdesivir.

-BebasNews

Leave a Reply