FOTO: Antara.

PULIH… Sejumlah pesakit Covid-19 di sebuah hospital Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat (AD) di Palangka Raya didakwa berjaya sembuh setelah minum madu kelulut.

Media tempatan melaporkan, kejayaan tersebut turut mengejutkan pihak doktor di Wilayah Kalimantan Tengah itu, malahan manisan lebah hutan ini turut tingkat daya imunisasi badan.

“Rawatan dengan ubat dan makanan termasuk ‘warisan leluhur’ terbukti mempercepatkan kesembuhan,” jelas komandan tentera di kawasan itu, Brigadier Jeneral Purwo Sudaryanto.

Turut disebut sebagai madu murni dalam kalangan masyarakat setempat wilayah itu, beliau mendakwa ramai pesakit selain askar TNI yang hidap Covid-19 didapati telah pulih kembali.

Purwo menambah, ada anggota pasukan keselamatan itu yang sudah lapan kali disah positif virus korona tersebut di hospital lain, namun akhirnya sembuh apabila terima rawatan di situ.

“Kami putuskan untuk pindahkan askar ini ke hospital TNI AD di Palangka Raya dan diberikan rawatan madu kelulut seperti yang biasa diterapkan sehingga mereka jadi normal,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah pesakit untuk kes Covid-19 yang diurus di premis tersebut agak terhad kepada 14 katil sahaja kerana hospital itu turut berperanan merawat penghidap penyakit lain.

Setakat ini, lapan anggota TNI yang positif wabak virus berbahaya itu telah dirawat di hospital berkenaan dan ajaibnya ujar Purwo, kesemua mereka disahkan sembuh seperti sedia kala.

“Untuk elak penularan Covid-19, kami secara rutin melaksanakan ujian pantas ke atas askar dalam satu pasukan sama yang sering berinteraksi dengan masyarakat umum,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Hospital TNI AD Palangka Raya, Mejar Alex Ranu mengesahkan ada kombinasi terapi ubat tradisional termasuk madu kelulut yang diterap terhadap para pesakit.

Selebihnya terang beliau, standard rawatan di situ tidak jauh berbeza daripada hospital lain di samping menambah faktor tertentu yang juga penting untuk pulihkan jiwa penghidap Covid-19.

Ini termasuk memastikan tiada tertekan dengan diberi waktu beriadah pagi di ruang terbatas sehingga berjemur sebelum makan suplemen berupa madu murni, telur rebus dan vitamin.

Hasilnya kata Alex, kadar kesembuhan secara purata pesakit Covid-19 di hospital tersebut direkod antara 10 hari hingga 14 hari, namun ada pula yang lebih cepat pulih bawah 10 hari.

Pasukan TNI AD di Jambi baru-baru ini turut hantar 1,300 botol madu asli ke sebuah sekolah tentera Bandung bagi bantu proses pemulihan rekrut baharu yang buat kluster Covid-19 di situ.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply