Oleh FAUZAN UDA AHMAD
Pihak berkuasa Indonesia mendapati sebanyak 1,251 peniaga pasar tradisional di 27 buah wilayahnya dijangkiti virus Covid-19.
Ikatan Pedagang Pasar Indonesia (IKAPPI) berkata, jumlah itu mewakili data terbaharu yang dikeluarkan sehingga semalam.
Ketua Bidang Infokom DPP IKAPPI, Reynaldi Sarijowan dalam sidang akhbar berkata, jangkitan itu berlaku di 211 buah pasar di 89 kota dan 27 wilayah.
Reynaldi menyatakan peningkatannya cukup ketara berbanding minggu terdahulu berikutan ujian termasuk swab yang dilakukan secara berterusan di pasar-pasar berkenaan.
Beliau berkata, bilangan peniaga di pasar-pasar tradisional melibatkan ibukota Jakarta adalah sebanyak 317 kes positif.
Sambil menyatakan jumlah kes semakin membimbangkan, Reynaldi menambah, sejumlah pengunjung pasar juga dijangkiti dengan virus berkenaan apabila berhubungan dengan peniaga tersebut.
Beliau berkata, pihaknya kini menerapkan prosedur kesihatan yang ketat termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dan sekatan dari plastik antara gerai.
– BebasNews