Oleh FAUZAN UDA AHMAD
TOKYO – Saintis Jepun mendakwa berjaya menghidupkan semula mikrob (microbes) yang berada dalam keadaan tidak aktif selama lebih 100 juta tahun.
Organisma kecil ini berada di dasar laut Pasifik Selatan dalam mendapan yang miskin nutrisi, tetapi memiliki oksigen yang cukup untuk membolehkannya hidup.
Mikrob adalah salah satu organisme paling sederhana di dunia, dan dapat hidup di persekitaran ekstrim, tidak seperti mana bentuk kehidupan yang lebih maju.
Selepas mengalami proses pengeraman oleh para saintis. Mikrob itu mula makan dan membiak.
Penyelidikan ini diketuai oleh Badan Jepun untuk Sains Kelautan-Bumi dan Teknologi dan diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.
“Kita sekarang tahu bahawa tidak ada batasan umur untuk organisme hidup di bawah laut.”
Profesor yang juga penulis laporan itu Steven D’Hondt, dari University of Rhode Island, mengatakan mikrob itu berasal dari sampel tertua yang diambil dari dasar laut.
“Dalam sedimen tertua yang kami uji, dengan jumlah makanan paling sedikit, masih ada organisme hidup, dan mereka dapat bangun, tumbuh, dan berlipat ganda,” katanya.
– BebasNews