Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM– Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari memohon maaf hari ini kepada rakyat Selangor selepas isterinya memuat naik di media sosial gambar sebuah lori tangki milik Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang menghantar bekalan air ke kediaman rasmi mereka dua hari lalu.

Amiruddin menjelaskan, tindakan isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad hanya sekadar menzahirkan penghargaan terhadap Air Selangor yang menghantar bantuan air tetapi malangnya ia dijadikan modal politik sesetengah pihak untuk menyerangnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Belanjawan negeri Selangor 2021 di Pusat Perdagangan Setia City, di sini.

Tindakan memuat naik gambar berkenaan menerima reaksi negatif daripada segelintir netizen, yang beranggapan bahawa keluarga Amirudin mendapat layanan istimewa daripada syarikat utiliti tersebut.

Amirudin berharap se mua pihak tidak lagi memanjang-manjangkan perkara berkenaan dan memberikan semula tumpuan kepada masalah pencemaran air yang sedang berlaku di Selangor.

Sejumlah 37 buah kawasan mewakili lebih sejuta pemilik akaun Air Selangor yang berdepan gangguan air sebelum ini menerima bekalan air di kediaman dan premis mereka dan pemulihan sepenuhnya dijangkakan Rabu ini.

– BebasNews

Leave a Reply