Kelaster diinspirasi berdasarkan situasi pandemik Covid-19.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MENGAMBIL inspirasi daripada apa yang sedang berlaku ketika ini adalah satu idea menarik. Sudah pasti setiap orang melalui pengalaman yang berbeza sepanjang menempuhi pandemik Covid-19.

Ada yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga kerana tuntutan tugas dan tidak kurang juga yang terkandas di sesuatu lokasi kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masa awal PKP, ada sesetengah pelajar pusat pengajian tinggi yang tidak sempat pulang ke rumah dan terpaksa menetap di asrama buat sementara waktu. Namun suasananya tidaklah sama seperti mana selalu yang dihuni ramai pelajar.

Nora Danish, Meerqeen dan Achey berlakon sebagai pelajar kolej yang tidak dapat pulang ke rumah sewaktu PKP.

Meskipun sebelum ini ada pelajar yang terkandas di asrama bersungut tentang makanan yang disediakan tidak sedap tapi situasi itu tidak mendatangkan bahaya seperti mana yang dialami oleh tiga orang pelajar ini.

Sepatutnya pelajar yang tidak menghargai rezeki itulah perlu melalui pengalaman yang dirasai oleh Ain, Usop dan Zul yang terkandas di asrama sewaktu peringkat awal PKP.

Mereka telah diganggu dengan pelbagai kejadian pelik dan misteri. Lebih mendebarkan apabila mereka dapati telah berlakunya satu insiden ngeri sehingga setiap gerak geri seperti diperhatikan.

Ketakutan dan keresahan Ain, Usop dan Zul itu dapat diikuti dalam filem Kelaster yang bakal menemui penonton di rumah menerusi Astro First saluran 480 mulai 24 September 2020.

Kelaster merupakan filem komedi seram, arahan Razif Ajiboy Rashid yang juga bertindak sebagai penulis skrip dan lakon layar. Filem terbitan D Alphalegacy (M) Sdn. Bhd., itu menampilkan barisan pelakon Nora Danish sebagai Ain, Meerqeen (Usop), Achey (Zul), Azhan Rani (Dr. Madi) dan Amyza Aznan (Mak Cik Karipap).

Kelaster diarah oleh Razif Ajiboy Rashid.

Penerbit Eksekutif filem tersebut, Sanjay Kumar Veerasingam berkata, Kelaster adalah karya pertama terbitan produksinya yang akan menemui penonton pada Khamis ini.

“Kami mendapat idea menghasilkan Kelaster setelah melihat apa yang berlaku ketika tempoh PKP yang lalu. Kemudian kami mengolahnya menjadi cerita yang menarik.

“Manakala tempoh sesi penggambaran hanya mengambil masa enam hari dan penggambaran dilakukan di Kolej Antarabangsa Unifield. Saya harus berikan pujian kepada kru dan barisan pelakon yang telah memberikan komitmen yang terbaik dalam menjayakan karya ini,” katanya.

Kelaster merupakan karya pertama lakonan Meerqeen.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ini adalah kerjasama pertama pihak Astro Shaw dengan produksi D Alpha Legacy.

“Tentunya kami rasa teruja dengan kerjasama kali pertama ini dan tertarik dengan latar cerita yang dipersembahkan di mana ia mengangkat isu terkini dan masih segar untuk dipertontonkan.

“Kami percaya babak-babak di dalam filem juga pasti akan mengimbau kenangan penonton ketika dalam PKP. Antaranya, pengalaman terkandas dan tidak dapat pulang ke kampung, alami kisah seram, melakukan aktiviti popular seperti membuat video TikTok dan banyak lagi.

“Lebih istimewa, Kelaster menampilkan kemunculan semula pelakon Nora Danish menerusi filem selepas dua tahun serta kemunculan pertama kali pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020, Meerqeen. Kami harap, filem ini mampu memberi hiburan kepada penonton dan menyampaikan mesej dan nilai positif yang tersirat kepada penonton,” kata Raja Jastina.

Saksikan filem Kelaster di pawagam rumah anda, Astro First mulai 24 September ini. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Kelaster adalah sebuah kisah seram tentang bagaimana tiga orang pelajar yang terperangkap di kolej kediaman PKP dikuatkuasakan.

Kelaster bergenre komedi seram

Dua pelajar lelaki Usop dan Zul terpaksa menemani Ain, yang bersendirian sehingga terpaksa mencari bantuan di asrama lelaki. Tragedi pelik mula berlaku apabila mereka cuba mendapatkan bantuan untuk Ain.

Keadaan bertambah rumit selepas Usop dan Zul berkongsi kisah mengenai gangguan hantu serta makhluk halus yang pernah mereka lalui. Tiba giliran Ain untuk kongsikan pengalamannya, Ain terus menghilangkan diri.

Usop dan Zul segera mencari Ain dan ketika di temui, Ain sedang berada di dalam bas berdekatan dengan kolej mereka. Di situlah segala misteri dan rahsia gangguan yang mereka bertiga alami terungkai.

-BebasNews

Leave a Reply