PHOTO: Wikimedia Commons/Al Jazeera English / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)

MAKKAH – Setelah tujuh bulan digantung sejak 27 Februari lalu, kerajaan Arab Saudi bakal buka kembali ibadah umrah, namun secara berperingkat serta melalui proses kawalan yang amat ketat.

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Haji dan Umrah, Dr. Mohammed Saleh Benten menerusi kenyataan media pada 21 September yang dipetik akhbar berbahasa Inggeris tempatan, Arab News.

Pelbagai langkah juga disusun pihak berkuasa Arab Saudi demi memastikan kelancaran ibadah itu susulan kebimbangan berlaku kes penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kluster jemaah umrah.

Justeru, Mohammed mengumumkan pembukaan secara tiga fasa dengan peringkat permulaan cuma warga Arab Saudi dan ekspatriat menetap di negara itu dibenarkan mengerjakannya di Tanah Suci.

“Bagaimanapun kapasiti dihadkan hanya 40 peratus daripada normal sebelum ditingkatkan kepada 75 peratus pada fasa kedua dan pulih balik 100 peratus termasuk jemaah dari luar negara,” katanya.

Beliau namun menjelaskan sepanjang tempoh peralihan itu, beberapa protokol kesihatan yang agak tinggi akan dikuatkuasakan bagi elak jangkitan Covid-19 tanpa ganggu urusan ibadah para jemaah.

Ia merujuk kejayaan pelaksanaan ibadah fardu haji pada musim 1441 Hijrah lalu apabila cuma 1,000 jemaah dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard yang paling ketat sepanjang masa.

Ini termasuk pemakaian pelitup separuh muka, kerap cuci tangan dengan cecair basmi kuman dan penjarakkan fizikal satu meter selain semua jemaah turut diwajibkan melalui proses kuarantin kendiri.

Di samping itu, Mohammed memaklumkan bahawa lebih 30 agensi tempatan dan asing akan tawar perkhidmatan umrah menerusi platform aplikasi elektronik sepenuhnya dikenali sebagai I’tamarna.

Sistem berteknologi tinggi itu dijangka dapat kurang kerenah birokrasi awam kerana jaringannya bersepadu dengan aneka jabatan kerajaan di Arab Saudi terutama urusan permohonan visa umrah.

Mohammed berharap, agensi terlibat juga lebih teliti berwaspada semak latar belakang bakal jemaah khasnya transit di negara tertentu kerana hanya 80 negara dikecualikan visa masuk ke Arab Saudi.

Sepanjang tahun 2019, sejumlah 5.3 juta warga Arab Saudi, 6.4 juta ekspatriat, 1.2 juta rakyat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan 7.5 juta jemaah asing direkodkan menunaikan ibadah umrah di Makkah.

-BebasNews

Leave a Reply