FOTO asal: NSTP.

Oleh Dato Prof Emeritus Hashim Yaacob, Dip Islamic Studies (UIAM) dan
Adi Sukma, LLM (UiTM)

KAMI menulis ini sebagai orang yang tidak sempurna pengetahuan dalam hal pembahagian zakat, walaupun telah membaca sedikit sebanyak mengenainya.

Kami sedar bahawa bacaan tidak sesempurna seperti berguru pada yang tahu. Tiada niat untuk mengkritik apatah lagi untuk memandai-mandai.

Hanya mereka yang arif saja akan dapat memberi penjelasan mengenai kemusykilan yang akan kami kemukakan berikut ini. Dan kami akan berterima kasih di atas pencerahan yang akan diberikan oleh pihak yang berwajib. Rakyat yang tidak arif seperti kami ini tentu sekali juga akan berterima kasih.

Umum mengetahui bahawa Covid-19 sedang menyerang negara kita dengan hebatnya.

Pada 6 Oktober 2020 sahaja sudah wujud sebanyak 691 kes jangkitan. Ini merupakan tiga kali jumlah lebih besar berbanding dengan yang terbesar pada fasa pertama dulu apabila perintah PKP telah dijalankan.

Tidak hairanlah kalau esok atau lusa bilangan harian akan bertambah, kerana ramai rakyat yang tidak endah kepada SOP untuk melawan Covid-19 yang kerajaan telah keluarkan.

Akibat wabak itu, ekonomi negara telah terpukul hebat, dan kehidupan seharian tidak lagi menjadi selesa seperti dulu. Banyak masalah telah timbul.

Kami difahamkan bahawa banyak institusi pengajian tinggi swasta terutama yang kepunyaan orang Islam kini sedang menanggung kesulitan kewangan, bahkan ada yang sudah sangat tenat. Ini ialah kerana pelajar baru tidak dapat diambil, manakala pelajar yang masih belajar pula tidak dapat menyambung kursus masing-masing.

Tambahan lagi, ramai pelajar yang terpaksa belajar di IPT Swasta tidak mampu berbuat demikian kerana yuran pengajian yang terlalu tinggi berbanding dengan dengan IPT Awam.

Memang ada bantuan PTPTN, tetapi tidak mencukupi bagi sesetengah pelajar.

Maka itu, kami mohon pihak berkuasa Zakat untuk memikirkan bagaimana institusi zakat boleh memainkan peranan sebaiknya untuk membantu dari segi kewangan institutsi-institusi pengajian tinggi swasta kepunyaan umat Islam dan juga pelajar-pelajar Islam yang amat memerlukan bantuan segera di era Covid-19 ini.

Wallahua’alam.

— BebasNews

Leave a Reply