PETALING JAYA —  Kakitangan dan pelajar SMK Taman Sea diarah menjalani kuarantin kendiri serta-merta selepas seorang guru diuji positif Covid-19.

Seorang tenaga pengajar sekolah itu memberitahu FMT guru terbabit dilaporkan positif Covid-19 ketika berada di Kelantan.

“Guru itu sudah menjalani kuarantin kendiri di Kelantan selepas menjadi kontak rapat kepada seorang individu dijangkiti, tetapi guru besar mengarahkan pelajar dan guru mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata, individu dijangkiti itu, iaitu kontak kepada guru berkenaan, dijangkiti daripada seorang individu yang baru pulang dari Sabah.

“Kami masih menunggu arahan selanjutnya daripada kementerian pendidikan,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 691 kes Covid-19, rekod harian paling tinggi dan majoritinya dari Sabah dan Kedah.

FMT menunggu respons daripada kementerian kesihatan berhubung perkara itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/10/07/kakitangan-pelajar-smk-taman-sea-diarah-kuarantin-susulan-guru-positif-covid-19/

 

Leave a Reply