Rozita Izlyn bersetuju menyertai GV7 kerana sokongan peminat.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEWAKTU Gegar Vaganza (GV) musim ketiga, Rozita Izlyn pernah pergi uji bakat tapi belum ada rezeki. Pada musim keempat, pihak Astro pula yang memanggilnya untuk menyertai tapi beliau menolak kerana baru kematian ayahnya.

Penyanyi lagu Dunia Kita Berbeza yang nama penuhnya, Rozita Azlin Mohd. Radzi, berkata, sejak daripada itu, setiap tahun beliau mendapat panggilan daripada Astro untuk menjadi salah seorang peserta program realiti tersebut.

“Masa GV5 mereka ada call lagi dan waktu itu rasa tak bersedia, jadi tak terima juga. GV6, Astro call lagi dan saya reject juga sebab tak boleh nak beri komitmen. Untuk GV7, awalnya saya tolak juga. Dua tiga kali mereka call dan pujuk, tanya kenapa tak nak terima.

“Bila peminat  banyak tag dalam FB dan Instagram nak saya sertai GV7, barulah saya setuju. Lagipun sekarang ini disebabkan pandemik Covid-19, beban kerja pun tak banyak sebab pelajar belajar online. Itu yang saya beranikan diri terima tawaran Astro,” ceritanya ketika ditemui pada majlis pelancaran GV7, baru-baru ini.

Biarpun sudah tersenarai antara 14 peserta GV7, Rozita mengakui, beliau belum bersedia sepenuhnya. Sejak akhir-akhir ini barulah beliau mula mendengar balik lagu lamanya dan mengikuti perkembangan lagu terkini.

Penyanyi lagu Dunia Kita Berbeza, Rozita Izlyn.

“Terus terang cakap, saya tak prepare apa-apa pun. Sokongan yang diberikan oleh peminat membuatkan saya berani menjadi peserta tahun ini. Peminat yang DM (direct message) dan tag di media sosial kata, mereka mahu saya cuba, menang atau kalah belakang kira.

“Saya sertai ini pun untuk memenuhi hasrat peminat-peminat yang masih ada dan menyokong saya walaupun sudah lama tak menyanyi. Mereka selalu mesej dan tag minta saya sertai GV,” katanya.

Apabila bersetuju untuk menyertai GV7, kata Rozita, beliau masih lagi tak bersemangat bila memikirkan siapa yang akan mengurusnya kerana sepanjang menyanyi, beliau selalu ditemani oleh arwah abahnya.

“Sempat berbincang dengan suami dan dia kata tak boleh nak teman macam arwah abah sebab dia kerja. Kat situ dah rasa lemah tapi atas izin Allah, ada peminat di luar sana tawar diri untuk tolong uruskan. Peminat yang baik hati itu tolong carikan penaja dan sebagainya kerana saya tak tahu nak mula macam mana sebab dah lama tinggalkan aktiviti begitu.

“Pereka fesyen yang baru-baru ni, manalah saya kenal. Alhamdulillah, peminat tawar nak tolong, jadi saya terima saja dan selesai satu masalah. Sekarang ini cuma kena tumpu pada persediaan mental dan fizikal sebab mental ini belum bersedia 100 peratus.

Penyanyi lagu Dunia Kita Berbeza, Rozita Izlyn.

“Saya dah banyak lost lagu-lagu baharu, biasalah bila dah ada anak. Kalau dalam kereta, radio pun mereka kawal, asyik dengar K-Pop. Sekarang ini baru mula dengar lagu-lagu balik. Adalah buat fitness sikit untuk mula balik, maklumlah dah berumur 45 tahun, dulu 25 tahun, jadi stamina tu tak sama. Kali ni kena kerja keras sikit,” ceritanya sambil tersenyum.

Isteri kepada Banyjin Abdul Rashid dan ibu kepada Nur Qasrina, 15, serta Nur Qaisara, 9, berkata, selain mendapat izin suami, beliau turut meminta kebenaran daripada majikan iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

“Saya pun dah bincang dengan bos dan dia kata okey. Saya dah jumpa dengan Timbalan Naib Cancelor HEP UiTM, beliau pun kata okey, cuma jangan abaikan tugas hakiki. Saya akan cuba membahagikan masa sebaik mungkin. Pihak produksi pun kata mereka akan susun jadual saya sebelah malam dan tak ganggu kerja,” katanya yang sudah 13 tahun berkhidmat dengan UiTM dan kini bertugas bahagian Pusat Kebudayaan.

Tambah Rozita, buat masa sekarang beliau belum terfikir menjadikan GV7 sebagai platform untuk kembali aktif seperti dulu kerana terikat dengan tangggungjawab sebagai kakitangan UiTM dan keluarga.

Akui saingan sengit kerana dalam GV7 ada penyanyi legenda dan bekas peserta program realiti.

“Buat masa ini saya cuma plan nak habiskan GV7 dan selepas itu tak ada apa-apa perancangan lagi. Setakat ini pun rasa kepala macam tak boleh tune lagi sebab hari-hari saya hantar dan ambil anak dari sekolah.

“Untuk serius balik memang belum ada. Bukan tak suka menyanyi, saya cuma takut tak boleh memberi komitmen nanti menyusahkan orang, saya tak suka begitu,” katanya yang masih mendapat tawaran mengadakan persembahan tertutup sebelum ini.

-BebasNews

Leave a Reply