Oleh Azizi Ahmad

DALAM sebarang pemilihan termasuk pilihan raya, untuk membolehkan dirinya terpilih, ahli politik mesti memberitahu apa yang mahu didengari oleh majoriti orang ramai.

Sungguh-sunggguhnya apa yang diucapkan tidak semestinya apa yang mereka ingin sampaikan atau lakukan, dan mereka sendiri mungkin tidak mempercayainya.
Ini mungkin salah satu sebab kenapa orang politik tidak disukai atau dibenci.

Namun alasan utama tidak menyukai ahli politik mungkin mereka mempunyai ‘kawalan’ ke atas hidup anda dan anda mungkin tidak menyukainya terutamanya selepas mereka terpilih menjadi wakil rakyat anda.

Anda biasanya tidak menyukainya (benci adalah perkataan yang lebih mantap) jika:

a) anda tidak pernah bersetuju dengan pandangan mereka atau

b) mereka berdiri di atas platform yang anda setujui (atau sepakat dengan) dan kemudian mereka tidak melakukan apa yang mereka katakan dan

c) mungkin mereka secara terang-terangan korup atau membesar tembolok sendiri.
Jika tidak, anda mungkin menyukai dan memilih ahli politik yang digemari.

Secara kebiasaannya, jika seseorang tokoh masyarakat itu terkenal di mata umum dengan kemahiran atau berbakat maka kita cenderung untuk mengabaikan atau meremehkan kesalahan mereka tetapi sebaliknya berlaku kepada orang politik.

Kita biasanya tidak mengenali ahli politik secara peribadi dan perasaan curiga menyebabkan kita mudah mempercayai tuduhan yang tidak berasas. Oleh itu pelaporan media yang benar penting dalam sebuah negara yang memiliki demokrasi yang sihat.

Selain itu, mereka yang kita pilih mungkin perlu memutuskan isu-isu yang berbeza pendapat dengan pengundi mereka dan sekali lagi pendirian mereka tidak akan menyenangkan semua orang, bahkan semua pengundi mereka.

Malah dalam kalangan penyokong mereka, keputusan mereka tidak akan selalu disukai atau dikagumi tetapi ini bukan bermakna kita membenci mereka, hanya keputusan mereka yang tidak sesuai dengan kita.

Kita tidak menyukai ahli politik adalah kerana keputusan mereka memberi kesan kepada kehidupan kita dan kita mahu mereka melakukan apa yang kita, atau kebanyakan daripada kita mahukan.

Mereka dikehendaki tidak menyimpang jauh dari dasar platform mereka sekiranya kita memilih mereka.Kita menganggap mereka berkhidmat untuk orang ramai dan bukan untuk mengumpul harta bagi diri mereka.

Sesiapa sahaja akan membenci penipu atau pendusta, orang yang korup atau mereka yang tidak menepati janji.

Kita juga berkecenderungan membenci mereka yang berkuasa dan boleh mengawal kita. Di sekolah kita takut dengan guru besar kita. Di pejabat secara amnya, kita membenci pengurus kita dan dengan cara yang sama kita membenci ahli politik.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply