Oleh Fetty Rara

RUMAH wira Piala Dunia 1982, Paolo Rossi dimasuki pencuri semasa upacara pengebumiannya semalam (Sabtu).

Menurut media tempatan kejadian berlaku semasa upacara pengebumian ikon bola sepak dunia yang meninggal dunia pada usia 64 tahun Khamis lalu di bandar Vicenza yang terletak di bahagian timur laut Itali.

Agensi berita Itali, Ansa berkata kejadian disedari oleh isteri Rossi, Federica Cappelleti apabila pulang ke rumahnya di Tuscany, lapor bbc.com.

Antara yang dicuri termasuk jam tangan milik Rossi, wang tunai dan beberapa barang lain.

Rossi bersama keluarganya tinggal di sebuah rumah ladang di Poggio Cennina yang merupakan sebuah kawasan percutian berdekatan di tenggara bandar raya Florence.

Kematian Rossi telah mencetuskan kesedihan dalam kalangan rakyat Itali yang menganggap beliau sebagai penyerang bola sepak terbaik dalam sejarah.

Beliau berjaya menyumbat sebanyak 20 gol dalam 48 perlawanan bagi pasukan Itali, termasuk enam pada Piala Dunia 1982.

-BebasNews

Leave a Reply