Oleh Sarfarizmal Md Saad


TANGGAL 27 Oktober lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataannya berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19.

Sehubungan itu, ahli Dewan Rakyat diseru supaya menghentikan segera perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Bahkan, baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa ketika negara terus bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19.

Malangnya, selepas beberapa siri perbahasan di Parlimen berjalan mengikut prosedur biasa, Pakatan Harapan (PH) pada 14 Disember lalu telah memutuskan untuk menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat pada keesokan harinya.

Tiga wakil parti dalam PH dalam kenyataan mereka menggesa semua ahli Parlimen baik pembangkang mahupun kerajaan juga turut berbuat demikian (menolak Belanjawan 2021).

Katanya, “PH sebelum ini telah menyatakan bahawa kami akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga. Ini akan berlaku esok.

“Oleh itu, Pakatan Harapan menggesa agar semua ahli parlimen, sama ada di sebelah pembangkang mahupun dalam kalangan penyokong kerajaan, yang memahami bahawasanya belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga esok,” kata kenyataan itu lagi.

Persoalannya, memandangkan tindakan PH ini kurang selari dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, maka ia boleh ditafsirkan sebagai suatu bentuk tidak hormat kepada Ketua Negara?

Adakah gabungan PH sengaja untuk mencabar kedaulatan titah Yang di-Pertuan Agong dengan alasan bahawa input-input Belanjawan 2021 itu tidak memenuhi cita rasa rakyat?

Jika alasan PH menolak Belanjawan 2021 ini disebabkan tidak bersefahaman dengan kehendak rakyat, sejauh mana kebenarannya?

Adakah PH dan mungkin sesetengah wakil rakyat dari kerajaan yang sependapat dengan PH sudah membuat pungutan suara rakyat? Jika ya, berapa peratus rakyat bersetuju dan berapa pula yang tidak bersetuju kepada Belanjawan 2021 ini?

Atau adakah penolakan sokongan terhadap Belanjawan 2021 hanya sebuah mainan dan strategi politik untuk menggulingkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia ada?

Adakah PH cuba untuk membalas dendam terhadap Bersatu yang dianggap ‘curang’ dan mengkhianati perjuangan PH sehingga menyebabkan PH hanya mampu bertahan dalam empukan kuasa selama 22 bulan sahaja.

Yang pasti, tindakan tidak menyokong Belanjawan 2021 secara rasmi dibuat sehari sebelum proses pengundian adalah suatu yang dianggap tiada adab.

Ketika rakyat terus kepayahan mencari sesuap nasi, masih ada segelintir wakil rakyat yang cuba bermain politik semata-mata untuk mendapat kuasa.

Ada betul juga apa yang disuarakan oleh YB Tun Dr Mahathir Mohamed dan YBM Tengku Razaleigh Hamzah iaitu semua ahli Dewan Rakyat perlu melupakan dahulu soal peribadi atau parti, tetapi mengutamakan tentang nasib rakyat dan negara untuk mengundi dalam dewan yang mulia itu.

Bagi kedua-dua figura ‘dinasour’ politik tanah air itu, kualiti pemimpin politik yang Malaysia ada sekarang ini tidak lebih sekadar mencari kekayaan buat diri sendiri serta kroni, tidak langsung memikirkan soal rakyat dan negara.

Betulkah semua 222 Ahli Parlimen begitu? Mustahil semua sama seperti apa yang Dr Mahathir dan Ku Li sebutkan itu. Hanya segelintir sahaja yang bersifat teruk sedemikian rupa.

Apapun, keadaan tiada keabsahan dalam Dewan Rakyat ini hanya mampu terubat dengan datangnya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Biar rakyat menghukum mereka yang menyukarkan pembentukan dasar sehingga menyebabkan kehidupan rakyat kebanyakan terus terganggu dan terhimpit.

Biar rakyat sendiri yang memilih wajah-wajah pemimpin yang mereka sendiri percaya untuk menjadi kerajaan dan pembangkang di Malaysia bila sampai waktu itu nanti.

BebasNews

1 COMMENT

  1. Wahai Penulis artikel ini:

    Tidak perlu menjual nama Ketua Negara Malaysia. Ketua Negara Malaysia berada di atas Garis Politik. Kenyataan Rasmi Istana Negara hanyalah Nasihat buat 222 Ahli Parlimen bukan Suatu Arahan!
    2. Sekali lagi; Usah bertenggek pada resmi Daulat. Para 222 Ahli Parlimen BEBAS melakukan apa sahaja di August House.
    BERIKAN MEREKA KEBEBASAN KERANA SEMUA 222 AHLI PARLIMEN TELAH DI ENDORSED OLEH SUATU PROSES PEMILIHAN YANG SAH.
    watch out guys???

Leave a Reply