Oleh MUZLINA ABU BAKAR


APABILA bercakap tentang ‘rasa’ pada jiwa seorang insan ia menyimpan pelbagai rahsia apa yang dirasakannya dalam melayari sebuah kehidupan ini.

Rasa suka, duka, teruja dan bahagia sering mewarnai kehidupan kita semua. Gejolak jiwa yang berdepan dalam pelbagai peristiwa merakamkan pelbagai ‘rasa’ namun apa jua yang kita ‘rasa’ dalam kehidupan ini, hidup harus diteruskan!

Sama ada ‘rasa’ takut menguasai jiwa, kita harus teruskan biar mungkin lautan api luas terbentang di hadapan. Hanya mereka yang berani sanggup membuang ‘rasa’ takut itu jauh-jauh demi kelangsungan sebuah kehidupan yang telah ditentukan-Nya.

Disebabkan adanya ‘rasa’ tanggungjawab di jiwa karyawan seni bernama Fauziah Nawi maka lahirlah “Rasa” sebuah teater muzikal ‘online’ (dalam talian) pertama demi kelangsungan ‘hidup’ Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefanie).

PENERBIT dan Pengarah teater online “Rasa”, Fauziah Nawi.

“Rasa” dipentaskan dalam format rakaman dalam talian dengan kerjasama JKKN (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) dan berkolaborasi dengan GTAS (Gagasan Transformasi Anak Seni dengan Presidennya, Anne Abdullah) akan bersiaran secara ‘online’ pada pukul 9 malam selama 46 minit mulai esok, 16 Disember sehingga 22 Disember ini.

“Setelah sekian lama pergerakan kita terbatas untuk mencari rezeki kerana pandemik Covid-19, saya amat bersyukur kerana berpeluang menerbitkan Rasa.

“Sebagai orang seni sebenarnya selagi termampu kami mahu berusaha demi kelangsungan hidup. Kami tidak mahu meminta-minta selagi kudrat masih ada,” kata Primadona, Fauziah Nawi ketika ditemui di Stefanie,Taman Rahman Putra, Ampang baru-baru ini.

Menurut Fauziah, beliau memilih “Rasa” yang menggabungkan puisi pilihan “Matinya Seorang Pahlawan” dan “Uda dan Dara” naskah Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang kerana ia amat dekat dengan jiwanya dan relevan dengan apa yang terjadi hari ini.

“Rasa amat relevan dengan apa yang terjadi hari ini tentang pengkhianatan, persahabatan, institusi diraja, kerajaan dan bagaimana keruntuhan kerajaan Melayu Melaka. Semua yang terjadi kerana tiada keikhlasan dalam persahabatan yang digambarkan dalam Matinya Seorang Pahlawan juga didalam Uda dan Dara.

“Ini adalah teater muzikal ‘online’ kami yang pertama yang menampilkan kemampuan para pelakon dalam bersilat, berandai, menyanyi dan berlakon yang diterajui kebanyakannya pelakon baru namun mampu melaksanakannya dengan baik.

“Dalam keadaan hari ini kita harus ada rasa tanggungjawab dan menjaga keharmonian negara kerana itu amat penting dan sentiasa menjaga SOP (Prosedur Operasi Standard) kerana kita dah tidak boleh ‘rasa’ hidup seperti dahulu lagi kerana hidup kita kini harus mematuhi norma baru,” jelas Fauziah Nawi.

Fauziah berkata untuk menerbitkan teater muzikal dengan bajet yang sangat terhad beliau tidak berharapkan nama-nama besar untuk turut serta tetapi mereka yang berbakat dan sanggup bersama melaksanakan peluang dan tanggungjawab ini.

Beliau amat bersyukur kerana sebagai penerbit dan pengarah dengan bajet yang amat terbatas masih ada yang sanggup bersusah senang bersama apa lagi dengan kehadiran Raihan Jamil yang berlatarbelakangkan sebagai Naib Presiden sebuah bank sanggup menjadi pengurus untuk teater ‘online’ ini.

KIRI: Wan Shade (Hang Tuah) dan Azlan Komeng (Hang Jebat) dalam “Rasa” teater muzikal ‘online’ terbitan Stefanie.

“Saya tidak nafikan teater ‘online’ sesuatu yang baharu bagi saya dan memang susah. Namun saya harus belajar dan saya tetap bersyukur kerana pengalaman sebagai pelakon dan pengarah drama TV dan teater banyak membantu saya.

“Bagi saya jika kita tahu networking yang ada dan dengan Raihan Jamil sebagai pengurus teater tidak mustahil hasil karya ini akan ditonton di seluruh dunia kerana saya yakin “Rasa” boleh pergi jauh,” kata Fauziah penuh harapan.

Bercakap mengenai latihan yang dijalani semua yang terlibat dalam “Rasa,” Fauziah berkata;

“Jika dahulu sebelum sesuatu teater dipentaskan kita memerlukan latihan antara enam bulan sehingga 10 bulan tetapi dengan bajet yang terbatas dan sentiasa menjaga SOP, latihan memang amat mencabar.

DARI kiri: Raja Hafiz dan Iqbal Daniel.

“Dalam norma baru, kami hanya berlatih selama 100 jam bermula 6 November lalu iaitu tiga hari seminggu dan alhamdulillah ia telah mencapai standard untuk dipersembahkan pada Rabu ini pukul 9 malam,” kata Fauziah Nawi.

“Rasa” yang akan ditayangkan dengan sarikata bahasa Inggeris dan bahasa isyarat menyingkap pertelingkahan antara Laksamana Hang Tuah dan Hang Jebat atas nama kesetiaan kepada Raja, pengkhianatan sehingga kepada penindasan anak watan. Pengorbanan yang dituntut demi menegakkan keadilan. Pengorbanan demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Rasa” yang pastinya menyelinap ke setiap urat nadi kita yang dikatakan rakyat yang cintakan keadilan, keharmonian juga sanggup berkorban walaupun nyawa demi negara yang tercinta.

“Rasa” diterajui oleh Azlan Komeng (Hang Jebat), Wan Shades (Hang Tuah), Isyariana, Ainina Ahmad B, Kejoraruby Wahid, Raihan MJ, Raja Hafiz, Raja Emy, Iqbal Daniel, Iellyas Fietri, Raouf Arif, Mohsein Mohyi dan Poizi Nawi.

Dengan tenaga di belakang tabir Wan Shade bertanggungjawab menggubah lagu, susunan vokal dan muzik, pengarah seni (Azlan Komeng), koreografer (Azlan Komeng dan Kejora Ruby Wahid), Kostum (Raja Emy), Mekap (Eva Shahrul), jurugambar (Wantran & Team), lampu (Aznor) dan Editor (Taza Al-Jafree).

Tiket berharga RM33 untuk menyaksikan “Rasa” boleh dibeli mulai hari ini melalui website:

https://www.cloudtheatres.com/shows/rasa.

BebasNews

Leave a Reply