Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR – Setelah lebih setahun tiada kerana isu pandemik Covid-19 dengan kali terakhir pada 21 September 2019 lalu, Anugerah Sastera Negara Ke-15 bakal berlangsung kembali.

Hadiah pengiktirafan tertinggi tokoh kesusasteraan tanah air itu mula dibuka pencalonan oleh penganjurnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tarikh tutup 15 Februari depan.

Agensi tersebut berkata, pengurniaan anugerah berprestij itu akan diumum kerajaan Malaysia kepada calon Sasterawan Negara yang berjaya beri sumbangan cemerlang dan berterusan.

“Panel mempelawa institusi dan badan yang sah selain individu berwibawa untuk kemukakan pencalonan bagi layak dipertimbangkan menerima anugerah ini,” kata kenyataan DBP itu.

Pencalon bagaimanapun hanya boleh menyerahkan satu nama sahaja dan hendaklah nyata hujah secara bertulis berdasarkan penilaian tentang karya sastera dihasilkan calon tersebut.

DBP menambah, pencalon juga kena mengemukakan penilaiannya mengenai sumbangan fikiran calon itu berkaitan dunia sastera dan pembinaan pengembangan sastera kebangsaan.

“Sasterawan yang dicalonkan itu juga mestilah warganegara Malaysia dan semua penulisan karya yang dihasilkannya wajib dalam bahasa Melayu,” kata kenyataan agensi berkenaan.

Borang pencalonan boleh didapati daripada Urus Setia Anugerah Sastera Negara, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Ia juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang rasmi http://lamanweb.dbp.gov.my/ atau e-mel kepada [email protected] atau boleh dihubungi talian 03-21479131.

Pemenang bakal menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 dan hak penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku maksimum berjumlah RM500,000.

Ia akan dibeli kerajaan sebelum disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi awam seluruh negara serta fasiliti perubatan percuma wad kelas satu di hospital kerajaan

Tidak ketinggalan juga ialah kemudahan kegiatan cipta karya sastera dan penerbitan selain penterjemahan dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan.

Sebelum ini, Sasterawan Negara ke-14 dinobatkan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail dan menerima daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah.

Anugerah ini julung kali dibuat pada 1981 lalu hasil inisiatif Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn dengan pemenang pertama ialah Dr. Kamaludin Muhammad atau Keris Mas.

Senarai Nama Sasterawan Negara

1981 : (Dr) Kamaludin Muhammad atau Keris Mas
1982 : Prof. Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad 1983 : Datuk (Dr.) Usman Awang
1985 : Datuk (Dr.) A. Samad Said
1987 : (Dr.) Muhammad Dahlan Abdul Biang atau Arena Wati
1991 : Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
1993 : Datuk Noordin Hassan
1996 : Datuk Abdullah Hussain
2003 : Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar atau S. Othman Kelantan
2009 : Dato’ Dr. Anwar Ridhwan
2011 : Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala
2013 : Datuk Baha Zain
2015 : Datuk Dr. Zurinah Hassan
2019 : Prof. Dr. Siti Zainon Ismail

-BebasNews

Leave a Reply