Walaupun usianya sudah mencecah lebih 60 tahun, Shashah masih dipilih menjadi ‘cover girl’ majalah GLAM!

Oleh MUZLINA ABU BAKAR/ Foto & Video SYED WAFA

PERTAMA kali saya bertemunya pada tahun 2000 di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantar ibunya, Seniwati Mariani Ismail (Allahyarham) untuk menunaikan fardu haji ke Mekah bersama anak sulungnya, Noraini Darus dari Singapura. Ketika itu, kami sekadar saling berbalas senyuman kerana dia begitu sibuk.

Setelah 20 tahun, minggu lalu saya bertemunya sekali lagi. Persepsi saya tetap sama, wajah dan suara anak sulung daripada enam beradik kepada pasangan suami isteri, Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan Allahyarham Syed Abdul Hamid Syed Mohamad atau lebih dikenali sebagai HM Rohaizad, saling tak tumpah seperti ibunya ketika muda.

 

SAAT bahagia Shasha Hamid bersanding di pelamin bersama suaminya, Jamaluddin.Turut hadir di majlis persandingannya, Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma yang berlangsungn di Singapura pada Mac 1973. Dua bulan selepas itu, P. Ramlee meninggal dunia.

Sepanjang dua jam kami berbual Sharifah Haslinda Syed Abdul Hamid atau lebih dikenali Shashah Hamid, saya rasa bagaikan ‘jelmaan’ Allahyarham Mummy (panggilan mesra buat seniwati Mariani) di hadapan saya kerana wajah, gerak tubuh dan suaranya saling tak tumpah seperti seniwati berkenaan.

Shashah adalah anak sulung daripada enam beradik hasil perkahwinan Seniwati Mariani dengan Syed Abdul Hamid Syed Mohamad. Allahyarham Mariani mempunyai 13 orang anak daripada tiga perkahwinan yang mana pekahwinan pertama dianugerahkan dua anak perempuan Noraini dan Normala yang menetap di Singapura. Manakala perkahwinan ketiga bersama Alias beliau dikurniakan lima anak dengan yang bungsu adalah Melissa Saila.

Apabila ditanya apakah beliau sedar wajah, suara dan gerak tubuhnya saling tak tumpah seperti Allahyarham Seniwati Mariani yang dipanggil emak oleh Shashah, lalu berkata;

“Seboleh mungkin saya tidak mahu dibayangi nama, bakat dan populariti emak kerana minat saya sejak berusia 20 tahun sehingga hari ini ialah dunia peragaan dan suatu waktu dahulu saya aktif sebagai model sehingga ke luar negara.

“Tetapi saya tidak mampu melawan takdir. Saya tahu ramai yang berpendapat saya bagaikan ‘fotostat’ emak.”

Shashah Hamid di awal kemunculannya sebagai model pada tahun 1975.

Disebabkan ‘kesamaannya itu’ tidak hairanlah apabila ada syarikat penerbitan drama mahukan Shashah melakonkan ‘watak muda’ yang dilakonkan Seniwati Mariani dalam drama terbitan mereka.

Walaupun pada mulanya beliau enggan tetapi setelah dipujuk dan memikirkan emaknya, akhirnya Shashah mengalah.

“Apabila penerbit dan pengarah terus memujuk dan kerana emak, saya terima tetapi dengan satu syarat. Saya tidak mahu berdialog walaupun sepatah perkataan.

SHASHAH Hamid hari ini.

“Saya tidak kisah melakonkan ‘watak lakonan emak semasa muda’ sedang menyapu di halaman rumah, bekerja di kebun, mencuci baju ataupun sedang memasak asalkan tiada dialog!

“Sebabnya saya malu kerana ketika berlakon sebuah drama terbitan RTM pada tahun 1976 yang mengisahkan tentang kehidupan seorang model bersama Datuk Zulkifli Zain (Allahyarham) dan Datin Normala Omar arahan Roslee Jalil (Allahyarham), ramai yang komen saya tidak fasih berbahasa Melayu. Penonton kata saya pelat!” cerita Shashah.

Shashah Hamid bersama emaknya, Allahyarham Seniwati Mariani Ismail.

Disebabkan itu juga, apabila ditawarkan bertugas sebagai penasihat imej di RTM selama tujuh tahun bermula pada tahun 2004, setiap kali mesyuarat Shashah lebih selesa berbahasa Inggeris walaupun yang lain bercakap Melayu.

“Saya faham apa yang mereka katakan cuma mungkin saya dah terbiasa berbahasa Inggeris kerana ketika di Singapura saya bersekolah Inggeris dan bergaul dengan mereka yang bercakap bahasa Inggeris,” cerita Shashah, bekas pelajar Anderson Secondary School Singapura, sambil ketawa.

Shashah Hamid bersama perfumenya ‘Shashah Magical Potion’

Menyentuh mengenai dunia peragaan, Shashah mula menjadi model (peragawati) ketika berusia 20 tahun. Sebelum itu, Shashah mengikuti kursus di Studio Mannequin di Hotel Hilton pada tahun 1975 dan kemudian kursus lanjutan di Studio Mannequin di Singapura.

Semenjak tahun 1980 sehingga 1992, Shashah adalah diantara model yang sering menjadi pilihan MAS (Sistem Penerbangan Malaysia) dan Perbadanan Kemajuan Pelancongan (Tourism Development Corporation) setiap kali diadakan Minggu Fesyen dan Masakan Malaysia yang berlangsungn di Sydney, Melbourne, Adelaide, Perth, Seoul, Jepun, Amsterdam, Bangkok dan Bangladesh.

Ironinya pada tahun 1970-an bukan mudah gadis berketurunan Melayu untuk menjadi model. Malah kerana itu ada yang mengesyorkan beliau menukar nama.

“Pada tahun itu, memang susah nak jadi model apalagi jika dipilih untuk ke luar negara. Malah ada yang mengesyorkan saya menukar nama kepada Catherine atau Caroline. Saya membantah dan tetap mahu dikenali dengan nama Melayu saya iaitu Shashah ( [email protected] Haslinda dan shah – Sharifah Haslinda Abdul Hamid).”

Meskipun kini Shashah tidak menyertai mana-mana model agency namun tidak siapa yang boleh menafikan dalam usianya 66 tahun, Shashah masih menjadi pilihan beberapa butik terkenal untuk beliau memperagakan pakaian rekaaan mereka.

Malah ketika usianya mencecah 64 tahun dengan wajah dan potongan badan yang masih cantik, Shashah menjadi salah seorang model yang memperagakan pakaian rekaan Jantik Batik pada satu pertunjukan fesyen pada tahun 2018.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac 2020, Shashah ‘dilamar’ oleh sebuah butik terkenal untuk memperagakan rekaaan baju raya tetapi disebabkan Covid-19, ianya terpaksa dibatalkan.

“Alhamdulillah…saya amat bersyukur dengan anugerah Allah ini, walaupun usia saya dah masuk 6series masih ada butik yang mahu saya memperagakan pakaian rekaan mereka.

“Saya bersyukur walaupun tiada pendapatan tetap dengan tulang empat kerat saya masih boleh bekerja dan menjadi pilihan butik-butik tertentu untuk menjadi model pakaian rekaan mereka. Sebenarnya sejak berusia 13 tahun saya sudah bekerja kerana saya tidak mahu menyusahkan orang lain,” kata Shashah yang tidak mengamalkan suntikan botox untuk kelihatan muda apalagi bermekap tebal kerana baginya seorang model kelihatan cantik apabila pakaian yang dipakai terletak di badan.

Perfume jenama Shashah yang mana harumnya mengingatkan beliau kepada Allahyarham Puan Sri Saloma.

Disebabkan prinsip itulah, Shashah amat bersyukur apabila permohonannya untuk menduduki sebuah unit rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) telah diluluskan dengan sewa bulanan RM255.

“Insyaa-Allah setelah PKP berakhir saya akan berpindah ke PPR berkenaan. Walaupun sepatutnya saya harus berpindah sekarang tetapi dalam keadaan PKP saya berpendapat lebih baik tunggu keadaan reda. Apapun saya telah membayar sewa untuk tiga bulan pertama,” kata Shashah.

Bila ditanya tidakkan beliau merasa rendah diri tinggal di PPR apabila nanti akan menjadi percakapan segelintir masyarakat, dengan tenang Shashah berkata;

“Kenapa saya mesti malu? Arwah emak dulu pun duduk di PPR. Bagi saya yang penting saya tidak menyusahkan orang atau menagih simpati daripada sesiapa.”

Walaupun Shashah merancang untuk berpindah di PPR berkenaan pada Mac ini tetapi beliau telahpun menghadiri majlis suaikenal dengan masyarakat di PPR berkenaan.

Menyentuh mengenai perancangan masa depannya, rupanya dalam diam sejak tahun lalu, Shashah ibu kepada seorang anak, Dino Laszidin Jamaluddin telah melabur RM30,000 untuk memiliki minyak wangi jenama sendiri yang diberi nama Shashah Magical Portion dengan dua haruman iaitu untuk wanita (putih) dan lelaki (hitam).

Menurut Shashah, beliau tidak pernah menduga pada usia begini beliau dianugerahkan rezeki berkenaan tetapi tidak mahu menyalahgunakan duit berkenaan demi masa depannya.

Shashah memberitahu, beliau sukakan haruman untuk wanita kerana ia mengingatkan beliau kepada Allahyarham Puan Sri Saloma yang dipanggil Mama.

“Perfume ini mengingatkan saya pada Arwah Mama. Apabila berpindah ke KL saya duduk bersama Mama dan saya sentiasa
memerhati apabila Mama nak pergi kerja (menyanyi). Sebelum pergi kerja Mama gulung rambut kemudian Mama sembur perfume pada baju Mama. Saya memang terpesona pada Mama kerana perfume Mama harum semerbak satu rumah. Bau perfume Mama, manis-manis manja dan sweet sangat dan itulah haruman yang saya kongsi bersama anda.

“Sementara perfume untuk lelaki pula baunya mempamerkan si pemakai ‘very manly,’ gagah, romantik dan si pemakai adalah lelaki idaman dan pelindung wanita,” jelas Shashah mengenai perfume jenamanya.

Menurut Shashah, perancangan awalnya majlis pelancaran perfume yang dijual dalam satu size 20ml dengan harga RM50 akan dilancarkan pada September lalu.

Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19 semuanya terpaksa ditangguhkan. Namun mereka yang berminat boleh menghubungi beliau melalui whatsApp Magical Potion di talian 01110757155 atau 0192777155 dan pesanan anda akan dihantar melalui Poslaju.

-BebasNews

Leave a Reply