ASRI Ismail atau kini dikenali Pak Tam tuan punya restoran berkenaan.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR/Foto SYED WAFA

SEBELUM kerajaan melaksanakan PKP 2.0 (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 13 Januari lalu, saya diundang oleh bekas PRO Life Record, Salina Ali dan pelukis serta youtuber terkenal, Syed Wafa untuk menjamu selera di sebuah restoran yang khabarnya cukup popular dengan masakan utara, masakan siam, masakan barat, nasi ayam dan nama-nama menu yang penuh sensasi dan kontroversi.

Sepanjang perjalanan dari Ampang saya tidak bertanya walau sepatah pun sehinggalah kami tiba di Lot 58213, Jalan Samudera Utama, Batu Caves, di mana terpampang nama Restoran Pak Tam Sri Corner. Ketika itu, saya tidak dapat bayangkan siapakah pemilik restoran itu dan apakah nama menu yang penuh kontroversi yang menjadi pilihan para pelanggan setianya.

PENYANYI Nizam Laksamana bergambar bersama Asri [email protected] Tam tuanpunya Restoran Pak Tam Sri Corner.

Setelah lima minit duduk di kerusi yang menghadap kaunter bayaran, tiba-tiba mata saya terpaku kepada sesosok tubuh berkulit sawo matang yang mengingatkan saya wajah yang pernah saya kenal suatu ketika dahulu sekitar awal 1990 sehingga 1996.

Selepas pelanggannya pergi, dengan tersenyum beliau datang ke meja kami dan menyapa saya. Mendengar suaranya, ia mengingatkan saya kepada seorang Pegawai Perhubungan Awam (PRO) BMG yang cukup peramah dan mudah tersenyum.

Meskipun waktu dan keadaan memisahkan kami selama 24 tahun, tetapi cara beliau berbicara mengingatkan saya sikap ramah dan sopannya ketika melayan setiap wartawan hiburan ketika itu yang hadir di majlis sidang akhbar pelancaran album baru artis-artis BMG yang mana menjadikan beliau salah seorang PRO yang amat disenangi.

Setelah dua sahabat saya memesan nasi putih, siakap goreng cili, kuey teow lakna dan kuey teow goreng, saya berbual dan bertanya khabar beliau – iaitu Muhammad Asri Ismail dan cuba mendasari hati dan perasaannya bagaimana kehidupannya dari dunia PRO yang penuh glamor mendampingi artis kini melayan pelanggan dengan menu istimewa restorannya.

Setelah hampir sejam berbual, saya kagum dengan prinsip dan keberanian Asri yang kini lebih mesra membahasakan dirinya ‘Pak Tam’ kerana nama itu bagaikan memberi tuah kepada restorannya (walaupun saya lebih selesa memanggilnya Asri), dalam menjalani sebuah kehidupan.

INILAH periuk berharga RM1,100 yang dibeli oleh Pak Tam sebelum mula belajar memasak Nasi Ayam Ketom.

Jika mengingatkan Asri ketika di BMG, seorang PRO yang ‘happy-go-lucky’ dan peramah, saya tidak menduga beliau mempunyai semangat juang yang tinggi dalam meneruskan kehidupannya sehingga menjadi ‘tokeh’ restoran yang berjaya dan disenangi oleh para pelanggannya.

“Kalau tidak kuat semangat, saya tak tahu bagaimana kehidupan saya, isteri dan tiga orang anak kami. Bayangkan suatu waktu dahulu hidup saya begitu mudah, bangun pagi bersiap dan ke pejabat menjalankan tugas hakiki yang diamanahkan dan setiap hujung bulan mendapat gaji yang alhamdulillah.

“Setelah lapan tahun menjalani rutin harian yang sama, tiba-tiba BMG tempat saya dan rakan-rakan serta artis bernaung dan mencari rezeki yang halal terpaksa kami tinggalkan kerana industri rakaman tidak menjanjikan kemewahan lagi,” cerita Asri, suami kepada Jamilah Ismail dan ayah kepada Nur Zarifah Syahirah, Nur Iman dan Muhammad Mukhriz, memulakan bicara.

Char Kuey Teow kahwin antara menu istimewa Restoran Pak Tam Sri Corner.

Biarpun begitu bagi Asri, hidup ini adalah perjuangan dan walau apa jua yang dihadapi, hidup ini harus diteruskan. Tidak kira di depan terbentang luas lautan api di belakang penuh onak dan duri, demi keluarga dia harus terus melangkah meskipun ia tidak menjanjikan sesuatu yang indah.

Berpegang pada prinsip itulah Asri Ismail, yang ‘dibuang kerja’ tidak pernah menoleh ke belakang malah meneruskan kerjaya sebagai PRO di sebuah syarikat rakaman tempatan setelah BMG mengecilkan operasinya apabila penjualan album fizikal merudum pada tahun 1998.

Siakap Samsing.

Dengan pengalamannya selama lapan tahun, Asri hanya berehat dua hari setelah meninggalkan BMG apabila Mokhtaza mempelawanya menyertai syarikat rakaman milik bumiputera yang dikenali NAR Record.

Dengan semangat yang masih membara, Asri mengatur strategi untuk menaikkan syarikat rakaman yang telah lama ditubuhkan tetapi diam menyepi bagaikan membawa diri.

Bak kata pepatah Melayu, “Benih yang baik dicampak ke lautan menjadi sebuah pulau” begitulah Asri. Bersama Mokhtaza, Asri menubuhkan ‘team’ untuk menyemarakkan syarikat rakaman berkenaan dan sejak di BMG, forte Asri ialah radio dan bersandarkan pengalaman yang lalu album Elly Mazlein “Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan” yang diletakkan di bahunya berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila terjual 80,000 unit ketika album artis lain tidak mendapat sambutan!

Sup Kalut Utara

“Saya amat bersyukur album artis pertama NAR yang saya uruskan berjaya mencapai jualan puluhan ribu unit dan ini benar-benar memberi sinar baru bukan sahaja kepada syarikat…malah buat diri saya.

“Betapa tidak dalam senario penjualan album syarikat rakaman antarabangsa merudum, NAR mencatat jualan yang tinggi bermula dengan Elly Mazlein diikuti Spider (Aladin), Sarah Raisuddin (Kesetiaan), Faradhiya dan UNIC.

SEBELUM PKP 2.0…pada waktu tengahari, Restoran Pak Tam Sri Corner dipenuhi dengan pelanggan setianya pada waktu makan tengahari.

“Dengan penjualan album yang tidak diduga ini, ia memberi rezeki untuk isteri dan anak-anak. Sayangnya langit tidak selalu cerah. Setelah tujuh tahun bersama NAR, industri rakaman semakin teruk apabila dunia sekali lagi mengalami penurunan jualan album fizikal, akhirnya saya mengambil keputusan meninggalkan kerjaya saya sebagai PRO yang penuh glamor.

“Ketika itu saya tidak terfikir kerja apa yang boleh saya buat untuk menyara keluarga apalagi anak-anak saya masih kecil ketika itu. Tiga bulan saya duduk di rumah tetapi apabila Mahmud dari Life Record tawarkan kerja saya tidak berfikir panjang,” cerita Asri walaupun ketika itu sudah mendapat tapak untuk memulakan perniagaan makanan yang kini dikenali Restoran Pak Tam Sri Corner.

PELAKON Shaheizy Sam antara artis yang pernah menikmati hidangan enak di restoran Pak Tam.
MALAM sebelum PKP 2.0.

Bagaimanapun setelah dua tahun bersama Life Record, Asri mengambil keputusan berhenti kerana sebab-sebab tertentu.

Di saat itu, hanya satu azam dan tekad Asri untuk meninggalkan terus dunia glamor sebaliknya meneruskan kehidupan berniaga makanan di tapak yang telah disewa pada tahun 2008 dengan hanya mendirikan khemah sahaja.

Bermodalkan RM20,000 hasil simpanannya bekerja sebagai PRO selama 15 tahun dan mengendalikan show artis, Asri memberanikan diri membuka ‘kedai makan.’

Ustaz Ebit Lew turut menikmati hidangan enak di restoran Pak Tam.

Berbekalkan kepandaian dan resipi laksa utara, anak kelahiran Kedah ini memulakan perniagaannya. Tetapi jika mahu kedai makan menjadi tumpuan, manakan cukup jika hanya satu menu yang ‘disajikan’ untuk para pelanggannya.

“Saya terfikir mahu meniaga nasi ayam tetapi saya tak pandai. Saya hubungi kawan saya di TV3 dan beliau kenalkan kepada kawan sepejabatnya.

Rancangan terbitan TV3, Jalan Jalan Cari Makan pernah ‘menjamu selera’ di sini.

“Setelah berbincang dengan kawan sahabat saya, beliau bersetuju ‘meminjamkan’ isterinya sebulan untuk mengajar isteri saya memasak nasi ayam dengan syarat saya harus membeli periuk khas untuk memasak nasi ayam yang berharga antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Walaupun mahal saya minta beliau lukiskan gambaran periuk berkenaan apabila ke tempat menjual barangan dapur harganya hanya RM1,100,” cerita Pak Tam sambil tersenyum dan bersyukur kerana keikhlasan kawan kepada sahabatnya itu yang ‘meminjamkan’ isterinya.

Cukup sebulan seperti perjanjian isteri Pak Tam pandai  memasak nasi ayam yang mana ia menjadi antara menu kegemaran para pelanggannya.

 

“Alhamdulillah pada permulaan Pak Tam Sri Corner hanya mampu menjual lapan ekor dalam tempuh seminggu meningkat lapan ekor dan kini lebih 20 ekor sehari yang dijual pada harga RM6.50,” cerita Pak Tam penuh kesyukuran.

Tidak cukup dengan itu, disebabkan ingin kepelbagaian menu hidangan, Pak Tam sanggup ke Penang menjejaki ‘Char Kuey Teow’ kegemarannya.

Walaupun pada mulanya, tauke berkenaan enggan mengajarnya tetapi disebabkan kesungguhan Pak Tam ke Pulau Pinang setiap hujung minggu akhirnya tauke dengan resipi istimewa Char Kuey Teow datang ke Kuala Lumpur seminggu dan mengajar beliau.

“Saya amat bersyukur kerana bertemu dengan mereka yang ikhlas dan jujur yang sanggup menurunkan ilmu memasak dan resipi mereka dalam membantu saya meneruskan restoran ini. Budi baik mereka hanya Allah yang membalasnya.

Pak Tam bersama para pekerja.“Bukan itu sahaja, malah sampai bila-bila saya akan kenang keikhlasan Salina Ali dalam membantu saya kerana ketika saya mahu mencari kanopi untuk mula berniaga beliau juga menghadiahkan saya barangan keperluan sebuah restoran seperti pinggan mangkuk, gelas, bekas air yang mana penuh satu bonet kereta saya,” cerita Pak Tam mengenai sahabatnya, Saliha Ali yang menjalankan perniagaan menyewa kanopi dan katering.

Menu Restoran Pak Tam Sri Corner bukan setakat Bihun Sup Utara, Nasi Ayam, Char Kuey Teow malah masakan Siam dan Barat juga turut dihidangkan.

Bagaimanapun sudah namanya PRO yang memfokuskan strategi dan pemasaran jangan terkejut apabila menu Restoran Pak Tam Sri Corner memang sensasi dan kontroversi.

Sebabnya menu hidangan Restoran Pak Tam Sri Corner ada Nasi Ayam Ketom, Char Kuey Teow Sotong Janda, Char Kuey Teow Andartu, Siakap Samsing, Tomyam Songkla, Sup Kalut, Mi Kondo dan Mi Lupa!

“Sememangnya nama menu restoran saya ada membuatkan pelanggan terkejut dan ketawa kerana ia sekadar strategi tetapi paling ngeri apabila ada anggota polis datang singgah dan bertanya tentang Nasi Ayam Ketom kerana pelanggan ketagih mahu memakannya sedangkan ramuannya biasa-biasa sahaja.

PAK Tam bersama Salina Ali yang menghadiahkan barangan keperluan untuk memulakan perniagaan makanan pada tahun 2008.

“Saya beritahu sebenarnya ini adalah Nasi Ayam Hainan tetapi nama mampu menarik pelanggan membelinya kerana yang penting sedap!” kata Pak Tam.

Bercakap tentang cabaran berniaga kedai makan kata Pak Tam;

“Cabaran utama ialah pekerja. Kalau orang luar mereka memang mahu bekerja dan bila dapat duit boleh membantu keluarga mereka sama ada di Indonesia atau Thailand. Tetapi orang kita kebanyakannya nak gaji.

“Dahulu pekerja saya 18 orang tetapi apabila PKP pekerja saya cuma empat orang sahaja. Saya terpaksa mengurangkan tenaga kerja kerana sejak PKP 2.0 sampai hari ini saya masih belum dapat membayar gaji mereka.

JUARA Big Stage, musim kedua (2019) Han Byul yang pertama kali jejak kaki di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mengajak kawan baiknya ke Restoran Pak Tam Sri Corner yang terletak di Jalan Samudera Utama, Batu Caves.

“Insyaa-Allah dengan izin-Nya, esok lusa saya akan bayar gaji mereka. Bagi saya dugaan dan rezeki ketentuan Allah, saya terima dengan reda.

“Semoga PKP 2.0 akan berakhir dan dapatlah saya berkongsi rezeki dengan pekerja saya.”

Menurut Pak Tam, sejak PKP beliau mengatur strategi bagaimana para pelanggannya boleh makan ‘hidangannya’ panas-panas.

“Setelah saya bermesyuarat dengan pekerja, kami mengambil satu resolusi bahawasanya makanan yang diorder oleh pelanggan akan siap 5 minit sebelum mereka sampai.

“Alhamdulillah sejak hari pertama PKP para pelanggan saya puas hati kerana mereka kata seperti menjamu selera di Restoran Pak Tam Sri Corner kerana apabila dihidangkan masih panas dan berselera makan.

“Malah kalau pelanggan ‘order’ dengan menggunakan penghantaran melalui Grabfood ataupun Foodpanda mereka juga mendapat makanan dalam keadaan panas kerana beg penghantaran mereka memang khas menjaga kualiti makanan,” kata Pak Tam yang berhasrat menaikkan setingkat lagi restoran lima pintu itu.

Bagi anda yang ingin menempah menu yang lazat dari Restoran Pak Tak Sri Corner bermula dari 12 tengah hari sehingga 10 malam bolehlah hubungi Pak Tam Delivery Hotline: 018-3711005.

-BebasNews

Leave a Reply