Oleh AMREE AHMAD

MESKIPUN pengertian sebenarnya mungkin tidak begitu tepat dari segi fakta sejarah, namun perkataan bahlul muncul sebagai antara 10 perkataan paling dicari netizen.

Malahan, bahlul berjaya menduduki tempat keenam dalam ‘carta’ perkataan popular yang disemak warganet menerusi kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara atas talian.

Ia memperoleh 9,511 kali yang amat dicari pengguna media sosial termasuk dari luar negara sejak perkhidmatan rujukan itu mula diwujudkan agensi awam tersebut lebih sedekad lalu.

Kedudukan unik ini membolehkan bahlul berada di belakang perkataan kata dengan 230,786 kali carian untuk posisi pertama diikuti perkataan dialek, susah, mengunggis dan mengerit.

DBP memberikan bahlul sebagai bermaksud bangang, bodoh, tongong atau tiada cita-cita yang berdasarkan entri istilah dipetik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat terbitannya.

Keadaan itu berbeza daripada fakta sejarah yang mengaitkan bahlul sebagai gelaran diberi masyarakat Baghdad kepada seorang hakim berjiwa soleh dan kaya-raya iaitu Wahab Amru.

Beliau merupakan saudara sepupu Khalifah Harun ar-Rashid, pemerintah masyhur Dinasti Abbasiah dan juga murid kepada ulama keturunan Rasulullah SAW, Imam Musa al-Kazim.

Namun, ada versi lain pula mendakwa bahlul ialah gelaran oleh penduduk ‘kota hikayat 1,001 malam’ itu kepada Hassan Hani al-Hakam yang lebih dikenali dengan panggilan Abu Nawas.

Situasi itu timbul kerana banyak karya beliau kelihatan agak gila dengan maksud yang hendak disampaikan begitu mendalam dan amat sukar difahami selain dirinya pula dianggap warak.

Perkataan bahlul pernah dipopularkan seniman Tan Sri P. Ramlee ketika melakonkan watak ketua penyamun di Baghdad menerusi filem malar segar, Ali Baba Bujang Lapok pada 1961.

Kelazimannya, perkataan ini sering diucap dalam senario tidak formal kerana dianggap sebagai kurang sopan berbanding sinonim lain iaitu dungu, bebal, tolol, dongok, baghal atau jahil.

-BebasNews