Oleh Ahmad Abd Hamid

HOTEL Equatorial Pulau Pinang, antara hotel terbesar di Pulau Pinang, secara rasmi menutup pintu pada 31 Mac 2021 kerana sudah tidak mampu menanggung kerugian kerana  tiada pengunjung akibat pandemik Covid-19.

Ini merupakan berita penutupan terbaharu sebuah hotel bertaraf mewah tetapi ia dipercayai bukan yang terakhir. Sebelum ini banyak hotel ternama antaranya di Ipoh, Melaka, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang dan Pulau Tioman (Pahang) menutup operasi. Bayangkan berapa ramai kehilangan kerja.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng memberitahu, lebih 90 hotel terpaksa gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membendung penularan Covid-19 mulai Mac tahun lalu. Ada yang ditutup terus, ada yang menunggu dengan harapan keadaan pulih. Namun dengan pelaksanaan semula PKP kini, keadaan dijangka lebih tenat.

Malah tidak mustahil banyak lagi hotel besar, sederhana dan bajet hanya menunggu waktu untuk melabuhkan tabir perniagaan. Selain itu, banyak pula motel dan calet yang juga menutup perniagaan.

Ini tidak termasuk perniagaan berkaitan pelancongan, seperti agensi pelancongan, pusat pelancongan dan juga pembekal bahan-bahan keperluan kepada hotel atau kemudahan pelancongan, yang turut terjejas.

Begitulah getirnya sektor pelancongan di Malaysia kini, yang mengalami kesan rantaian akibat pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini. Sektor ini sedang melalui waktu yang sangat suram dan sukar.

Sehingga ini dianggarkan lebih RM100 bilion kerugian ditanggung oleh sektor pelancongan dan ramai pula kehilangan kerja dan pendapatan.

Dalam kes Hotel Equatorial Pulau Pinang, pihak pengurusan akan tetap membayar gaji dan pampasan sehingga penutupan rasmi. Sementara ini satu usaha terpuji, berapa lama pampasan tersebut akan bertahan sehingga mendapat kerja baharu?

Bukan rahsia lagi kini ada mereka yang sebelumnya merupakan barisan pengurusan  tertinggi hotel terpaksa meneruskan hidup dengan menjadi pemandu Grab atau apa juga jawatan lain demi kelangsungan kehidupan.

Bayangkan di waktu gembira dahulu sektor pelancongan begitu maju dan memberikan sumbangan tinggi kepada pendapatan negara. Keseluruhannya sumbangan sektor ini  kepada negara bagi 2019 ialah RM86.14 bilion. Hotel, motel atau calet sentiasa dipenuhi pengunjung dalam dan luar negara. Pusat-pusat pelancongan menjadi tumpuan ramai.

Tetapi dengan serangan Covid-19, segalanya berubah. Demi mengekang penularan pandemik tersebut, antara langah kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Dengan penguatkuasaan ini, rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan. Maka ia secara langsung mengekang pergerakan orang ramai, atau melancong ke mana-mana.

Jadi siapakah yang akan mengisi bilik-bilik hotel dan mengunjungi pusat-pusat  pelancongan? Bagaimana hotel atau pusat pelancongan meraih pendapatan untuk terus bertahan?

Penutupan sempadan menjadikan keadaan lebih buruk. Tanpa kemasukan pelancong luar, sektor pelancongan negara tambah derita kerana selama ini mereka adalah penyumbang besar kepada pertumbuhan sektor tersebut.

Dianggarkan 25 juta pelancong datang ke Malaysia setiap tahun sebelum meletusnya pandemik Covid-19. Mereka sangat suka keindahan negara ini, rakyatnya yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya, di samping pelbagai tarikan yang ada di negara ini.

Rakyat China misalnya menganggap Malaysia sebagai destinasi pelancongan popular dan antara destinasi pelancongan utama untuk dikunjungi di Asia. Kedatangan mereka setiap tahun adalah konsisten.

Menurut rekod, sejumlah 1.61 juta pelancong China datang ke Malaysia pada 2014 dan angka ini meningkat kepada 3.26 juta pada 2019. Pelancong dari China dianggar membelanjakan purata RM4 bilion pada 2019 dengan purata perbelanjaan setiap orang RM4,500.

Pelancong lain antaranya ialah dari India, Eropah, negara Arab serta lain-lain. Sasaran kedatangan pelancong pada tahun 2020 ialah 30 juta dengan 11 peratus daripadanya disasarkan dari China. Tetapi dengan penutupan sempadan dan sekatan kemasukan rakyat asing, sasaran ini tidak tercapai. Tempiasnya ialah sektor pelancongan negara terus tidak bermaya.

Berapa banyak lagi hotel atau motel akan ditutup, dan berapa ramai akan kehilangan kerja sebelum kemelut ini berakhir? Nampaknya selagi Covid-19 mengganas, selagi itu masalah berlarutan. Sukarnya menghadapi dilema untuk menyeimbangkan kelangsungan ekonomi dengan mengekang pandemik Covid-19.

Semoga sektor pelancongan akan segera pulih kerana ramai bergantung kepadanya. Jika pun pulih nanti, bukan mudah pula bagi industri yang sudah tersungkur ini bangun kembali membina kekuatan. Luka yang parah mengambil masa untuk diubati.

-BebasNews