Oleh Datuk Sri Akhbar Satar Akhbar


SALAH seorang ahli perniagaan yang tersohor yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pencegah Rasuah Malaysia berpendapat kenyataan itu tidak benar, malah tidak dapat dipertahankan.

Di peringkat antarabangsa, kenyataan itu tidak menjadi isu terutamanya bagi negara-negara yang mempunyai reputasi terbaik dalam amalan rasuah mereka.

Sebagai contoh New Zealand dan Sweden merupakan negara yang paling kurang rasuah berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI 2020), merupakan antara negara yang paling disenangi untuk menjalankan perniagaan.

Dalam persekitaran urusniaga negara-negara ini, bukan saja amalan ketelusan diutamakan, tahap kesedaran anti-rasuah berada pada tahap yang amat tinggi.

Negara-negara ini mempunyai ekonomi yang maju, mantap dan didokong oleh institusi berwibawa yang bebas.

Apabila wujud tanggapan — BISNES DAN RASUAH BERJALAN SEIRING — maka ia adalah petanda dan salah satu ciri ekonomi dan amalan perniagaan dalam negara yang sedang membangun, seperti Malaysia.

Di negara-negara itu urus tadbir selalunya tidak sejajar dengan amalan baik yang sepatutnya diamalkan.

Kebanyakan negara-negara ini mempunyai kedudukan CPI yang rendah dan tercorot.

Natijahnya, tiada siapa mahu melancong, apatah lagi melabur jika indeks rasuahnya teruk, sekali gus menjejaskan ekonomi negara itu sendiri.

Jenayah rasuah dan bisnis berjalan seiring boleh berlaku di mana-mana sahaja. Sama ada oleh orang dalam sesebuah agensi atau organisasi ataupun dengan kerjasama atau pembabitan pihak luar syarikat.

Apabila kerajaan memperkenalkan dasar penswastaan dan Malaysian Incorporated, penekanan diberikan kepada meningkatkan kerjasama sektor awam dan swasta untuk mempergiatkan lagi proses pembangunan negara.

Malangnya dasar ini disalahgunakan serta dieksploitasi akibat persekongkolan antara kedua-dua belah pihak termasuk ahli politik serta pegawai kanan kerajaan (penerima) dan ahli perniagaan (pemberi) yang tiada integriti kerana ghairah hendak kaya cepat.

Rasuah dibayar untuk mendapatkan keistimewaan dan kelebihan demi keuntungan.

Mereka merosakkan dasar kerajaan dan melahirkan golongan yang kaya-raya melalui pendapatan yang tidak halal.

Della Porta and Vannucci dalam kajian rasuah di Italy berpendapat bahawa “Corrupt exchanges between public officials and business managers are usually sustained through networks of politicians, business, mafia and middlemen.

“Corruption operates successfully because of a complex web of relationships between public officials (bribe-receivers), business cartels (bribe-givers), middlemen (act as consultants or agents) and organised crime (play a covert enforcement role) that ensure ‘flow of information’ (discretionary powers) in exchange for ‘money’ (bribes) with the underlying element of ‘trust’.”

Tambah beliau, ia juga boleh berlaku antara negara-negara.

Individual atau kelompok tertentu yang mempunyai pengaruh atau kekuasaan boleh berbuat sesuatu untuk mendapatkan keuntungan dan kepentingan peribadi. Ada yang berselindung dengan syarikat tertentu.

Jika sekarang pemilik syarikat boleh meletakkan nama sesiapapun, tetapi dengan pindaan undang-undang memasukkan ‘beneficiary ownership’ dalam Akta SPRM 2009 seperti yang dicadangkan oleh SPRM, maka ia boleh mengelakkan salah guna.

Berdasarkan aduan rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 63 peratus kes melibatkan pegawai sektor awam dengan 43 peratus di bahagian perolehan dan 24 peratus di bahagian penguatkuasaan.

Ini adalah kerana “sektor awam mempunyai kuasa yang boleh ditukar dengan wang”.

SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan melibatkan pegawai-pegawai yang diberi amanah berkaitan urusan perolehan dan perbekalan.

Ia termasuklah menerima komisen antara lima hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat-syarikat yang berjaya; membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu; menciplak kertas cadangan dikemukakan oleh pihak tertentu dan kemudian memberi kepada syarikat lain.

Sengaja meminta syarikat-syarikat tertentu memasuki sebutharga dengan harga yang lebih tinggi; sengaja mencipta sebutharga dengan menggunakan kepada surat atau profil syarikat-syarikat tertentu sedangkan syarikat tersebut sendiri tidak tahu-menahu mengenainya dan berpakat dengan syarikat pembekal untuk mendapatkan sebutharga lima syarikat yang lain sebagai syarat mematuhi peraturan.

Manakala bentuk-bentuk kesalahan kerap dilakukan oleh syarikat pembekal pula termasuklah menyogok pegawai untuk memenangi projek atau kontrak ditawarkan; peranan orang tengah yang mengumpulkan profil-profil syarikat lain untuk memasuki sebutharga; meraikan pegawai bagi tujuan melobi projek; membayar rasuah untuk mendapatkan surat sokongan orang-orang kenamaan; membuat tuntutan penuh sedangkan perbekalan barangan tidak lengkap atau mencukupi; dan mengurangkan kualiti barangan yang dibekalkan.

Wujudnya hubung-kait antara bisnes dan rasuah adalah disebabkan amalan rasuah perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang rintangan daripada pihak berkuasa: i) mendapat sesuatu urusan dengan kadar segera ii) mendapat sesuatu melalui saluran pintas iii) mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.

Amalan rasuah juga merupakan satu amalan untuk mendapat keistimewaan kelulusan dan syarat lebih longgar; memperdaya kerajaan dari segi bayaran cukai dan hasil negara; aktiviti haram dan tanpa izin – umpama membawa masuk PATI.

Perlu ditekankan di sini bahawa pendirian kebanyakan peniaga adalah tiada sebab seseorang peniaga rela mengeluarkan wang bagi merasuah jika bukan kerana sudah terpaksa. Buat apa mereka hendak habiskan wang mereka sendiri?

Namun ada kes mereka terpaksa merasuah walaupun bisnis mereka dijalankan secara telus dengan mengikut prosidur seperti permohonan lesen, permit, kebenaran atau kelulusan.

Di negara-negara membangun, gejala tersebut di atas amat berleluasa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat juga negara-negara maju CPI 2020 mereka sudah merosot akibat defisit moral, etika dan amalan rasuah.

Justeru, pemimpin, ahli politik, ketua-ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, telus dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Mereka tidak harus melepas tangan dan tidak tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan yang berlapis. Ia bukan bertujuan untuk mewujudkan karenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang individu sahaja.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang.

Syarikat-syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam dan diambil tindakan undang-undang.

Meskipun pihak berkuasa telah memperbaiki sistem dan prosedur berbanding situasi satu atau dua dekad yang lalu, memandangkan isu rasuah dan ketirisan masih mendapat perhatian termasuk Laporan Ketua Audit Negara, prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan Kementerian Kewangan terutama dari segi kuasa budibicara (discretion power) perlu diteliti semula. Ini termasuk sistem audit sendiri.

Dalam hal ini kerjasama orang ramai juga penting bagi membolehkan SPRM dapat bertindak dengan efektif dan bebas.

Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas atau bisnes, maka rasuah akan dapat diatasi dengan baik.

* Datuk Seri Akhbar Satar adalah Presiden Transparency International – Malaysia 2013-2019 serta menduduki Kursi Profesorial di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University. Beliau adalah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia.

BebasNews