KUALA LUMPUR – Kumpulan UCSI melalui anak syarikatnya, Laurent Bleu Medical Clinic menawarkan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (PCR) dengan harga RM190 sahaja bermula 1 Mac ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Laurent Bleu, Natasha Ng, harga baharu itu merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilakukan bagi mengurangkan jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di negara ini.

“Sebelum ini harga yang kami tawarkan untuk ujian PCR adalah RM250 tapi kami putuskan untuk menurunkannya kepada RM190 sahaja pada bulan Mac ini bagi melandaikan lengkung kes. Kami mahu pastikan orang ramai dapat menjalani ujian Covid-19 dengan harga yang berpatutan.

Natasha Ng

“Dengan lebih ramai orang awam yang menjalani ujian Covid-19 terutama mereka yang memiliki simptom atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif, kita dapat mengawal penyebaran Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, selain individu yang memiliki kontak rapat dengan pesakit positif mahupun yang menunjukkan simptom, ujian PCR itu juga boleh dilakukan bagi mereka yang bakal memasuki Sarawak mahupun yang ingin ke luar negara.

Menurutnya lagi, servis itu ditawarkan untuk sesiapa sahaja termasuk pekerja asing sepanjang bulan Mac ini dan akan kembali kepada kadar asal iaitu RM250 pada bulan berikutnya.

“PCR ini kaedah yang lebih baik berbanding Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) dalam mengesan virus SARS-CoV-2 di mana ujian ini mengesan kehadiran RNA malah ia juga boleh mengesan virus pada pesakit yang tidak mempunyai simptom.

“Ujian PCR ini mempunyai ketepatan hampir 100% sementara ketepatan RTK-Ag sekitar 85% dan untuk ujian RTK-Ag ini kita tawarkan dengan harga RM70,” katanya. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply