Oleh Arrazaq Nazri
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon agar Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan terdapat individu menyogok Ahli Parlimen berkenaan untuk tampil membuat laporan kepada pihaknya.
Menurut SPRM oleh kerana perkara tersebut telah tular di media sosial baru-baru ini, sewajarnya pihak terbabit segera tampil membuat aduan.
“Sewajarnya aduan dibuat sekiranya perkara itu benar-benar dianggap sebagai perlakuan rasuah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media dalam talian, suarapakatandaily.com melaporkan, Natrah Ismail memberitahu beliau telah didatangi wakil pemerintah untuk ditawarkan mengubah arah sokongan.
“Semalam pada 3 Mac, saya telah dikunjungi dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Dato’ Seri’. Dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana saya telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantu saya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen.
“Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut,”katanya dalam laporan portal tersebut.
Justeru SPRM berkata, aduan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan melapor transaksi penyogokan.
Katanya lagi, SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut.
-BebasNews