Ahli SPV dan kakitangan LZS bersama Shaiful Amin yang uzur sebelum dibawa ke rumah kebajikan.

Oleh Arrazaq Nazri

KLANG – Seorang lelaki mualaf, Shaiful Amin Mohana Abdullah,55, ditempatkan di rumah kebajikan setelah ditemui dalam keadaan uzur kerana menderita sakit angin ahmar di bilik yang disewanya di Taman Sentosa Klang.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Suara Rakyat Selangor (SPV), M.Paramasivam, pihaknya menghubungi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) setelah mendapat maklumat tentang keadaan Shaiful Amin yang merupakan asnaf fakir.

“Kita menghubungi pihak LZS setelah mendapat tahu dia mendapat bantuan daripada pihak tersebut selama ini.

“Keadaannya agak uzur dan saya berharap dengan bantuan LZS masalah penjagaannya lebih terjamin,”katanya kepada Bebasnews hari ini.

Shaiful Amin merenung nasibnya.

Sementara itu menurut pihak LZS, Shaiful Amin adalah asnaf fakir yang berdaftar dengan pihaknya.

Katanya lagi, dia menerima bantuan kewangan bulanan, Hari Raya dan tunggakan hospital.

“Sebelum ini beliau berkerja sebagai pengawal keselamatan. Namun kini tidak bekerja kerana sakit angin ahmar selepas kemalangan jalanraya dua tahun lalu.

“LZS segera bertindak selepas menerima aduan dari SPV berkenaan kes seorang penerima zakat yang sudah tidak mampu mengurus diri akibat masalah jantung dan strok separuh badan tinggal serta tinggal menyewa bilik berseorangan,”katanya.

Jelas pihak LZS lagi, pihaknya akan menguruskan perpindahan asnaf tersebut ke Pusat Jagaan Siti Noraini di Kajang bagi memastikan kebajikan pemohon terus disantuni.-BebasNews

Leave a Reply