Oleh Yusoff Ahmad Shariff

BANDAR raya Nagpur di barat India akan diletakkan semula di bawah perintah ‘lockdown’ sepenuhnya berikutan lonjakan serius kes Covid-19.

‘Lockdown’ selama seminggu itu akan mula berkuat kuasa pada 15 Mac ini dan turut membabitkan daerah yang berjiran, lapor bbc.com.

Negeri Maharashtra di mana Nagpur terletak merupakan zon panas Covid-19 sejak pandemik bermula dengan catatan kes aktif dan kes sah paling tinggi di India.

India setakat ini merekodkan lebih 11 juta kes dengan 157,000 kematian.

Jumlah kes di sebahagian besar India telah menurun sejak beberapa bulan lalu, tetapi enam negeri, termasuk Maharashtra semakin melaporkan peningkatan jumlah kes.

Pada Februari lalu daerah Amaravati yang juga terletak dalam wilayah Maharashtra telah menguatkuasakan perintah ‘lockdown’.

Para saintis berpendapat bahawa lonjakan luar biasa kes mungkin disebabkan oleh penularan beberapa varian baharu virus tersebut.

Selain itu, orang ramai yang tidak patuh SOP, tidak memakai pelitup muka, tidak mengamalkan penjarakan dan tahap ujian serta pengesanan yang lemah turut menyumbang kepada krisis tersebut.

-BebasNews

Leave a Reply