Oleh Fetty Rara

PERDANA Menteri Mario Draghi memberi amaran bahawa kedai, restoran dan sekolah akan ditutup di seluruh Itali bermula Isnin depan ekoran ombak baharu pandemik Covid-19 yang menyaksikan lonjakan serius jumlah kes.

Penutupan sepenuhnya akan berkuat kuasa selama tiga hari dari 3 hingga 5 April sewaktu musim Easter, lapor bbc.com.

Negara pertama menguatkuasakan ‘lockdown’ seluruh negara itu setahun lalu kini sekali lagi bergelut untuk mengekang penularan pantas jangkitan wabak tersebut.

Setakat ini lebih 100,000 kes kematian disebabkan oleh Covid-19 telah dicatatkan, justeru menjadikan jumlah kes di negara itu kedua tertinggi selepas United Kingdom.

Dalam pada itu kempen vaksinasi seluruh Itali pula mengalami kelewatan, seperti mana yang berlaku di beberapa negara anggota Kesatuan Eropah.

Minggu lalu kerajaan Itali telah bertindak menyekat eksport sebanyak 250,000 dos vaksin AstraZeneca ke Australia dalam usaha untuk menangani masalah kekurangan bekalan di negara itu.

Negara-negara, termasuk Bulgaria, Denmark dan Norway telah menunda penggunaan vaksin AstraZeneca berikutan kebimbangan berlaku kesan darah beku pada penerima.

Bagaimana pun, semalam pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tidak terdapat bukti berhubung dakwaan tersebut, dan seterusnya menekankan bahawa vaksin itu selamat untuk digunakan.

-BebasNews

Leave a Reply