Oleh Datuk Rejal Arbee

APAKAH gerangannya telah terjadi dengan bahasa Melayu?

Apakah kita orang Melayu ini sudah hilang identiti kita? Kini bahasa kita sudah jadi bahasa Malaysia.

Malukah mahu menyebut bahawa kita menggunakan bahasa Melayu, baik dalam percakapan mahu pun tulisan?

Nasib baik juga kini sudah tidak ada siapa pun lagi yang menyebut bahasa Melayu baku yang pernah dipelopori oleh Anwar Ibrahim! Tidak menghairankan kalau sekarang ini Anwar sendiri pun tidak lagi bercakap bahasa Melayu baku.

Seorang kawan telah menulis kepada saya bertanya apakah sudah berlaku kepada bahasa Melayu baku?

Lihat sahaja dengan bahasa Arab. Ia tetap terus dikenali sebagai bahasa Arab baik di bumi Arab sendiri mahu pun negara-negara sekitarnya hinggakan ke negara-negara di utara benua Afrika seperti Morocco, Tunisia, Libya, Mesir apatah lagi di negara-negara Arab sendiri seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lebanon, Palestin, Syria, Iraq, Kuwait, Qatar, Bahrain hingga ke Yaman. Bahasanya adalah bahasa Arab.

Malangnya di kawasan kita ini seperti di Indonesia misalnya ia sudah jadi bahasa Indonesia. Jadi sekarang ini di bumi kita ia sudah menjadi bahasa Malaysia. Mana perginya bahasa Melayu?

Apakah perkembangan demikian ini tidak mencemaskan?

Apa yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bangunannya pencakar langit. Adakah anda hanya memerhati sahaja dari atas?

Saya sendiri keliru dengan fungsi sebenar DBP, yang saya rasa syok sendiri dan hidup dalam dunianya yang tersendiri.

Sebagai seorang yang sudah melepasi usia 80 tahun, saya sesungguhnya amat risau dengan perkembangan bahasa kita.

Apakah sudah jadi dengan orang Melayu? Apakah betul sebagaimana dikatakan oleh Hang Tuah: Takkan Melayu hilang di dunia!

Tapi benarkah?

— BebasNews

Leave a Reply