Oleh Fetty Rara

AUSTRALIA akan menghantar 8,000 dos vaksin AstraZeneca ke Papua New Guinea yang sedang bergelut dengan lonjakan kes jangkitan Covid-19.

BBC melaporkan Perdana Menteri Scott Morrison mengumumkan bahawa vaksin tersebut akan dihantar segera bersama peralatan penjagaan kritikal.

Pada Isnin lalu Papua New Guinea melaporkan bahawa kadar jangkitan Covid-19 di negara pulau itu telah menghampiri satu kes dari setiap tiga atau empat orang.

Sistem penjagaan kesihatan di negara itu yang sememangnya lemah dan kurang berupaya semakin menuju kelumpuhan.

Secara rasmi kini terdapat 1,400 kes aktif di negara itu, namun demikian dipercayai bahawa jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Ujian merupakan isu utama, dan setakat 10 Mac lalu hanya sebanyak 50,000 ujian telah dilakukan dalam kalangan sembilan juta penduduk.

Australia, bagaimana pun, berkata bahawa di kawasan di mana ujian dilakukan hampir separuh didapati positif, termasuk dalam kalangan petugas kesihatan.

Wad Covid-19 hospital besar ibu negara Port Moresby dilaporkan penuh kerana petugas hospital juga turut dijangkiti.

Perdana Menteri James Marape menggesa penduduk negara itu supaya tidak meninggalkan kawasan kampung mereka dan juga jangan merentas daerah bagi mengekang penularan lanjut jangkitan.

Vaksin yang dihantar dari Australia itu adalah sebahagian daripada stok untuk kegunaan tempatan, tetapi dirasakan amat perlu kerana Papua New Guinea merupakan negara jiran paling dekat dengan Australia.

-BebasNews

Leave a Reply