Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) menyampaikan sijil perlantikan kepada salah satu wakil rakan strategik utama Program Food Bank Malaysia.
Oleh Arrazaq Nazri

PUTRAJAYA-Seramai 624,445 ahli isi rumah telah berjaya mendapat manfaat daripada Program Food Bank Malaysia (PBFM) di seluruh negara setakat Januari 2021.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi jumlah tersebut termasuk Program Food Bank Siswa yang melibatkan 25 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“PFBM ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan sejak tahun 2018 yang bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain mengurangkan isu pembaziran makanan yang masih boleh dimakan.

“Mulai 30 Jun 2020, PFBM diperhalusi lagi dengan pelaksanaan model baharu agar mampu
memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan selain dapat membantu rakan industri dalam menguruskan lebihan makanan secara lebih sistematik,”katanya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perlantikan Rakan Strategik Utama PFBM KPDNHEP.

Alexander berkata, bagi memperkasa PFBM pihaknya sedang melaksanakan projek rintis teknologi “Retort” bagi tujuan menyelamatkan dan meningkatkan jangka hayat lebihan makanan (yang masih baik dan belum disentuh) daripada industri perhotelan dan katering
daripada terus dibazirkan.

Katanya lagi, projek rintis bagi inisiatif tersebut akan dilaksanakan di Hotel Seri Malaysia, Perlis dan Hotel Primula,Terengganu pada tahun ini dan ia akan diperluaskan kepada pemain industri perhotelan dan katering yang lain sebagai salah satu langkah inovatif pihak Kementerian untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Pihak Kementerian juga berpandangan PFBM ini boleh dijadikan sebagai platform bagi membentuk semangat dan budaya kesukarelawan di kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru pihak Kementerian mengalu-alukan penglibatan daripada semua pihak termasuklah dalam kalangan Rakan Strategik Utama untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam menggalakkan penglibatan para sukarelawan di dalam program ini melalui program siri advokasi yang akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian,”katanya.- BebasNews

Leave a Reply