FOTO: Wikimedia Commons.

Oleh Fetty Rara

PRESIDEN Tanzania, John Magufuli, 61, telah meninggal dunia.

Timbalan presiden, Samia Suluhu Hassan yang mengumumkan kematian beliau melalui TV semalam berkata Magufuli meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sebuah hospital di Dar es Salaam, lapor bbc.com.

Beliau dilaporkan tidak muncul dalam khalayak awam sejak lebih dua minggu lalu, justeru  mencetuskan khabar angin tentang keadaan kesihatannya.

Minggu lalu ahli politik pembangkang berkata beliau dijangkiti Covid-19, tetapi dakwaan tersebut tidak dapat disahkan.

Magufuli merupakan di antara tokoh Afrika yang mempeleceh wabak Covid-19 dengan antara lain menyuarakan kesangsian tentang ujian jangkitan dan keperluan memakai pelitup muka.

Beliau juga sering kali memandang remeh tindakan negara-negara jiran Tanzania kerana menguatkuasakan pelbagai peraturan bagi mengekang pandemik tersebut.

Kali terakhir beliau muncul dalam khalayak ramai ialah pada 27 Februari.

Samia akan mengangkat sumpah sebagai presiden Tanzania dan meneruskan penggal lima tahun Magufuli yang bermula pada tahun lalu.

-BebasNews

Leave a Reply