Ayob Khan menunjukkan gambar Nicky Liow Soon Hee yang masih diburu. - Gambar arkib.

JOHOR BAHRU – Penjenayah yang dikehendaki, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersial masih diburu dan hingga kini belum dapat ditahan pihak polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, laporan dalam media sosial bahawa lelaki itu sudah ditangkap adalah tidak benar.

“Kami masih meneruskan usaha mengesan suspek supaya dapat dibawa segera ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini (Rabu, 24 Mac).

Sebelum ini sebuah portal tempatan mendakwa suspek ditahan di sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas usaha pencarian dijalankan polis selama 18 jam.

Sebelum ini, Ayob Khan ketika bercakap dalam satu sidang akhbar berkata, pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Baru-baru ini, polis Johor telah mengadakan serbuan di Puchong dan menahan 12 individu termasuk seorang lagi lelaki yang bergelar Datuk Seri.

Ayob Khan meminta orang ramai untuk tidak menularkan atau menyebarkan berita tidak benar tanpa merujuk kesahihanya kepada pihak yang bertanggungjawab. – BebasNews

Leave a Reply