Salah sebuah rumah yang digantung notis untuk dijual atau disewa di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru dijadikan stor menyimpan arak seludup. Foto JKDM.

JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan minuman keras kini menjadikan rumah-rumah kediaman tanpa berpenghuni yang digantung notis kononnya untuk dijual atau disewa sebagai stor simpanan mereka dalam usaha mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua apabila taktik licik itu berjaya dihidu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Dalam serbuan yang dilakukan baru-baru ini, JKDM berjaya mengenal pasti dua buah rumah di Bandar Dato’ Onn, di sini yang digantung notis untuk dijual atau disewa dijadikan stor menyimpan minuman keras seludup.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Ahmad berkata, dalam serbuan pertama jam 3 petang, sebuah rumah berkeadaan gelap dan mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan, pasukan kita menemukan pelbagai jenis minuman keras berjumlah 4,828 botol dan 7,128 tin yang dianggarkan bernilai RM385,012 termasuk duti dan cukai.

“Usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan,” kata beliau dalam satu kenyataannya di sini..

Kotak-kotak berisi minuman keras yang dirampas.

Dalam serbuan kedua pada jam 11.45 malam, pasukan sama menyerbu sebuah rumah lagi dan mengesan menggunakan taktik serta modus operandi serupa.

Pihaknya merampas 2,322 botol dan 1,176 tin minuman keras termasuk duti dan cukai disita dengan nilai berjumlah RM128,736.

Pihaknya masih menyiasat sama ada rampasan di kedua-dua rumah tersebut didalangi sindiket yang sama. – BebasNews

Leave a Reply