Photo by Asad Photo Maldives from Pexels
Oleh Dr Leong Quee-Ling

SEJAK dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020, saya melihat kembali gambar-gambar kenangan yang dirakam ketika percutian sebelum ini. Gambar hidangan makanan berupa nasi ayam, mi kari, rojak dan cendol yang dirakam ketika salah satu percutian saya menyebab rasa teruja bilakah saat itu dapat berulang kembali. Saya merupakan salah seorang daripada jutaan orang yang mengimpikan untuk bercuti selepas ‘terperap’ di rumah untuk tempoh yang lama.

Pandemik Covid-19 ini dijangka akan terus berlaku untuk satu tempoh yang panjang dan tiada siapa yang tahu bilakah ia akan berakhir jadi sekatan terhadap aktiviti pelancongan tidak memberi kebaikan kepada sesiapa pun. Pandemik ini telah menyebabkan sektor pelancongan negara menanggung kerugian sekitar RM100 bilion sejak tahun lalu. Bagi penyedia khidmat pelancongan yang tidak mampu bertahan pada akhirnya terpaksa menggulung tikar.

Pada 9 Mac 2021, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Gelembung Pelancongan Bersasar antara kawasan-kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Apakah maksudnya gelembung pelancongan? Terma ini digunakan bagi menggambarkan kerjasama antara dua atau lebih destinasi dikenali sebagai jambatan pelancongan atau koridor korona. Kerjasama ini membolehkan orang ramai melancong secara bebas di kawasan tertentu. Meskipun sudah dijelaskan, terma ini masih kedengaran pelik.

Sebenarnya ia lebih kurang sama dengan pakej pelancongan lama yang kita gunakan dulu sebelum pandemik cuma kali ini ada beberapa peraturan yang mesti dipatuhi.

Pengendali pelancongan perlu menguruskan pengangkutan, penginapan dan destinasi menarik bagi memastikan kelancaran perjalanan tersebut. Selain itu, sudut peraturan keselamatan juga penting untuk dipastikan supaya tidak termasuk ke zon larangan bagi aktiviti pelancongan.

Memang tidak dinafikan sebelum ini aktiviti pelancongan dijalankan dalam keadaan tidak terancang dan boleh mengancam kesihatan awam maka Gelembung Pelancongan Bersasar ini penyelesaian bagi menangani ketakutan industri pelancongan.

Ramai yang bertanyakan tentang inisiatif gelembung pelancongan tempatan jadi saya mahu kongsikan di sini antara manfaat yang boleh diperolehi.

Gelembung pelancongan bakal menjana ekonomi dalam negara. Menurut Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC), pelancong tempatan menyumbang 49 peratus pada sektor pelancongan tahun 2019. Ketika rentas negara masih belum pasti, dengan menggalakkan pelancongan domestik itu dapat membantu aliran wang dalam perniagaan.

Ini juga cara untuk membangkitkan semula industri pelancongan sedikit demi sedikit seterusnya mengembalikan kegemilangan pelancongan negara.

Memang lumrah manusia mahukan kebebasan dan merasai pengalaman baharu. Pandemik telah menyebabkan orang ramai takut dengan kontak secara fizikal. Ketakutan berpanjangan akan memberi kesan kepada kesihatan mental. Kita rasa bimbang apabila perlu mengubah gaya hidup secara tiba-tiba malah dimomokkan dengan ketidakpastian pekerjaan dan kewangan. Akhirnya kita mudah termasuk dalam perangkap depresi.

Dengan kebenaran untuk pelancongan domestik, ia secara tak langsung membantu ke arah kesihatan minda yang lebih baik.

Kita boleh menikmati gelembung pelancongan sekiranya semua pihak bertanggungjawab dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan MOTAC ketika menikmati Cuti-cuti Malaysia. Mungkin tidak lama lagi kita akan mula sibuk mencari pasport yang sudah lama tidak disentuh. – BebasNews

*Dr Leong Quee-Ling merupakan Dekan Fakulti Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Universiti UCSI. Beliau yang merupakan penolong profesor memiliki PhD and Ijazah Sarjana Muda Pelancongan Gastronomi serta ijazah dalam Pengajian Makanan.
Tulisan ini merupakan pandangan penulis sepenuhnya.

Leave a Reply