FOTO: Wikimedia Commons/Sze Ning from Malaysia / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/2.0)

Oleh Fetty Rara

PENARIK beca yang merupakan antara ikon pelancongan dan warisan di George Town, Pulau Pinang kini terhimpit teruk akibat Covid-19.

Kebanyakan daripada mereka yang terdiri daripada warga emas hampir tiada lagi punca pendapatan yang seterusnya tidak membolehkan mereka menyewa bilik untuk tinggal, apatah lagi menyewa rumah.

Akhbar The Star yang melaporkan tentang perkara ini mencungkil rentetan kehidupan harian golongan ini yang bukan hanya kais pagi makan pagi, malahan kais sentiasa tanpa penghujung.

Seorang daripada mereka, Samsudin Ahmad yang berusia 65 tahun berkata sejak empat bulan lalu dia terpaksa menjadikan becanya sebagai tempat tinggal kerana tidak lagi mampu membayar sewa bilik di Perak Road.

Dia berkata pada awal pandemik dia masih dapat hidup menggunakan simpanan sedikit sebanyak, tetapi setelah beberapa bulan keadaan semakin mencengkam dan dia terpaksa meninggalkan bilik sewanya.

Dia mandi dan mencuci pakaian yang hanya sehelai dua di tandas awam.

Seperti kebanyakan warga emas penarik beca lain, Samsuddin tidak berapa sihat dan hanya menggunakan sedikit sebanyak wang bantuan daripada kerajaan negeri untuk membeli ubat.

Bagi Ang Chee Guan, 64 dan kawan-kawannya pula, ‘rumah’ ialah di sekitar pinggir Penang Road sejak setahun lalu.

Mereka juga terpaksa menggunakan beca masing-masing sebagai tempat tinggal kerana tidak lagi mampu untuk menyewa bilik.

Dari segi makanan mereka amat berterima kasih kerana ada orang ramai yang membantu menyumbang makanan kepada mereka setiap hari.

Presiden Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang Abdul Latiff Mohd, 74 berkata sekarang hanya tinggal 80 penarik beca di George Town.

Beliau berkata sesetengah mereka yang tidak mempunyai pilihan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk hidup dan ada yang terus kekal dengan beca masing-masing sebagai tempat berteduh atau dibantu oleh kawan-kawan.

Di George Town kebanyakan penarik beca beroperasi di kawasan Esplanade, Penang Road, Komtar dan presint warisan di Armenian Street.

Pengerusi jawatankuasa ekonomi kreatif dan pelancongan Yeoh Soon Hin berkata pihaknya telah menyediakan pelbagai bentuk membantu golongan ini, tetapi oleh sebab perubahan zaman kerjaya mereka tidak lagi secerah dahulu.

Beliau berkata jika dahulu beca popular dalam kalangan penduduk George Town untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, kini permintaan telah berkurangan disebabkan kemudahan pengangkutan awam yang lain.

Bagi pihak kerajaan negeri beca merupakan sebahagian daripada warisan George Town dan perlu dipelihara.

Oleh yang demikian, peka terhadap dilema yang dihadapi oleh golongan ini usaha sedang dilakukan untuk menyediakan kawasan khas untuk mereka.

-BebasNews

Leave a Reply