Oleh Fetty Rara

SETELAH tujuh tahun tergendala akhirnya ‘rumah’ Lat akan dibuka kepada awam pada Julai depan.

Menurut Lat yang nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid, pihak Muzium Perak memaklumkan bahawa ‘Rumah Lat dan galeri’ itu akan akhirnya dibuka.

Beliau berkata bahawa struktur rumah tersebut telah lama disiapkan dan kini hanya menunggu pemilihan dan penyusunan bahan pameran yang akan kendalikan oleh sekumpulan kurator dari kumpulan karyawan PORT Ipoh.

Lat memberitahu wartawan pada pelancaran Galeri Cikgu Ramli di Hala Klebang Restu, Ipoh baru-baru ini bahawa galeri tersebut akan dikendalikan oleh pihak muzium.

Beliau berkata galeri tersebut sepatutnya dibuka tahun lalu, selepas tujuh tahun kerja pembinaan, tetapi ditunda kerana pandemik Covid-19.

Galeri itu akan membawa pengunjung menjejaki susur masa sejarah bersama kenangan berasaskan bahan-bahan dari zaman kanak-kanak Lat yang kebanyakannya dari zaman sebelum Perang Dunia Kedua.

Sebelum ini akhbar The Star melaporkan bahawa rumah dan galeri itu merupakan projek peribadi beliau.

Lat berkata beliau mengilhamkan rumah replika tersebut berdasarkan buku ‘Budak Kampung’ (Kampung Boy) yang begitu terpahat dalam ingatan indah semasa hidup ringkas di kampung tanpa bekalan elektrik dan air.

Idea untuk menghasilkan ‘Budak Kampung’ tercetus semasa beliau mengembara di Amerika Syarikat di atas kesedaran bahawa ketika itu masih ramai orang luar tidak tahu tentang Malaysia.

Antara lain, galeri tersebut akan mempamerkan beberapa karya pilihan Lat merentasi empat dekad, bermula dari 1964.

-BebasNews

Leave a Reply