Oleh Yusoff Ahmad Shariff

AKADEMI Badminton Malaysia (ABM) terpaksa ditutup setelah lima pemain negara didapati positif Covid-19.

Pekeliling yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam berkata kesemua mereka berada di akademi tersebut dan semua kontak rapat telah dikuarantin menurut arahan Institut Sukan Negara (NSI), Majlis Sukan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut BAM semua kes telah dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah di Kepong dan langkah-langkah diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pemain, petugas dan jurulatih terjaga, selain dilakukan sanitasi gelanggang dan bilik asrama.

Sesi latihan dihentikan untuk beberapa hari sementara aktiviti sekolah akan dilakukan secara dalam talian.

Pemain Malaysia telah bertanding dalam beberapa kejohanan di Eropah sejak beberapa minggu lalu, termasuk kejohanan berprestij All-England di mana pemain negara Lee Zii Jia menewaskan No.1 dunia Kento Momota dan No.2 dunia Viktor Axelsen untuk memenangi juara perseorangan lelaki.

-BebasNews

Leave a Reply