(Dedikasi Tan Sri Abdul Wahid Omar)
Oleh Zaini Ujang
 
Kami hampir sebaya
Di Johor Bahru dia dibesarkan
Di sana pula aku didewasakan
Oleh suasana dan persekitaran
Di selatan ada himbauan kota singa
Di utara ada ruang untuk meneroka
Di barat dan timur terentang laut bergelora.
ii
Dia tulus gigih memikul amanah memaju nusa
Pengalaman luas bagai 100 tahun usia
Mengetuai pelbagai syarikat ternama
Membina empayar kewangan serantau berjenama
Menjadi menteri perancangan ekonomi,
mengemudi pembangunan negara
Menjadi apa sahaja dengan kudrat jaya
Melaksanakan tanggungjawab jujur setia.
iii
Kami sering bertemu
Di denai ketika beriadah pada hujung minggu
Dia berjalan kaki bersama isteri
Aku lebih selesa menunggang basikal, tidak sendiri
Sesekali bertemu di majlis rasmi
Duduk semeja pelbagai idea dikongsi
Tambahan sejak dia meneraju UKM sebagai pengerusi
Setiap perkembangan cuba segera difahami.
iv
Kali ini kami bersatu hati
Kata putus telah dimeterai
Menjayakan agenda bumi lestari
Menerusi paparan bursa dia mengerakkan sektor industri
Untuk segera mengurangkan pelepasan karbon, dan sisa industri
Supaya pelestarian turut diagendakan dalam pertumbuhan ekonomi.
v
Kami hampir senada
Di dunia korporat dia dibesarkan
Di perkhidmatan awam aku didewasakan
Oleh suasana dan persekitaran
Di selatan ada himbauan kota singa
Di serata dunia ada ruang untuk meneroka
Walaupun laut semakin kuat bergelora!
 
Bangi l 17 April 2021 l Sabtu
*Datuk Seri Zaini Ujang juga adalah Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar
-BebasNews

Leave a Reply