Oleh Fetty Rara
JABATAN Pendidikan Kelantan telah mengarahkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh daerah yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 sehingga 24 April.
Menurut Pengarah Pendidikan Zulkernai Fauzi keputusan itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana khas berhubung penguatkuasaan Covid-19.
Beliau berkata pihak jawatankuasa mencadangkan supaya jabatan tersebut menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di tujuh daerah yang dikenakan PKP.
Bagaimana pun semua pelajar yang berada di asrama diarahkan terus berada di premis.
Pada masa yang sama beliau berkata kaedah pembelajaran dalam talian dicadangkan berdasarkan kesesuaian dan akses sepanjang waktu itu.
Dalam pada itu Zulkernai berkata semua pegawai pendidikan daerah diminta memantau semua sekolah bagi memastikan SOP dipatuhi.
Rabu lalu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa tujuh daerah di Kelantan, iaitu Kota Baru, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah diletakkan di bawah PKP dari 16 hingga 29 April.
-BebasNews