ILUSTRASI: LAT

Oleh Ahmad Abd Hamid

PUKUL 4.30 pagi, ayam jantan peliharaan berkokok dari dalam reban memecah kesunyian dan keheningan, mengejutkan penghuni rumah untuk bangun dan siap sedia bersahur. Saban pagi pada bulan Ramadan, pada waktu yang sama, inilah rutin ayam jantan tersebut tanpa gagal.

Malah jam loceng lebih sebagai sokongan sahaja seandainya ayam jantan ‘terlena’ atau terlupa berkokok. Tetapi sepanjang bulan puasa ia bagai tahu tanggung jawabnya. Pada pagi bukan Ramadan ia berkokok juga. Tetapi itu ketika hampir menjelang subuh. Pandai sekali haiwan ini membezakan waktu sedangkan tiada latihan untuknya.

Namun, setiap kali mengimbau Ramadan ketika kecil dan masih bersekolah, inilah antara kenangan yang tidak luput daripada ingatan penulis ketika bulan puasa di Tebuk Mukmin, sebuah desa sunyi di pedalaman di daerah Bagan Datuk, Perak.

Apabila ayam berkokok, emak akan segera bangun dan membuat semakan dengan melihat kepada jam loceng. Ini untuk memastikan ayam berkokok pada waktu yang sepatutnya. Memang benar, sudah waktu untuk bersahur.

Emak pun sibuk di dapur, dibantu oleh kakak. Ketika itu penulis sendiri masih lena dalam kesejukan pagi. Setelah makanan tersedia, barulah emak menggerakkan penulis. Sekali gerak belum tentu bangun. Malah ada kalanya emak terpaksa merenjiskan air ke muka.

Makan sahur ala kadar sahaja. Jika ada lebihan berbuka emak akan panaskan. Tetapi nasi biasanya emak masak nasi baharu agar panas menyelerakan serta mencelikkan mata yang mengantuk. Begitu juga lauk. Biasanya ikan atau telur goreng atau ikan masin panas.

Minuman pula biasanya teh O panas. Ketika itu teh yang kami gunakan ialah teh Ceylon (Sri Lanka) yang diimport dari negara itu dan dijual di kedai-kedai runcit. Kami tak kenal teh Lipton atau Boh ketika itu. Teh Ceylon dibeli dalam bungkusan saiz sederhana, siap ada ‘seal mark’ merah seperti cap mohor. Selalunya tangkai teh pun ada sekali bercampur dengan serbuk teh.

Proses memasak makanan sahur mengambil masa. Maklum menggunakan dapur kayu. Usah bermimpi menggunakan periuk elektrik atau dapur gas. Maklum bukan ada bekalan elektrik ketika itu di kampung. Dapur gas juga tidak ada dalam kamus penduduk kampung.

Memasak di dapur kayu menggunakan kayu, tempurung, seludang dan sabut kelapa. Orang yang tidak biasa masak nasi di atas dapur kayu ini biasanya tidak boleh masak dengan sempurna. Ada kala nasi tidak cukup masak, ada kala hangit. Namun emak sudah pakar dalam bab ini.

Lepas habis bersahur, masih ada sedikit masa berehat sementara menanti waktu subuh. Apabila masuk waktu, ketuk-ketuk di surau akan dipalu. Walau pun kedudukan rumah penulis jauh dari surau, dalam keheningan subuh itu paluan ketuk-ketuk jelas kedengaran memecah subuh sunyi.

Selepas solat subuh, ada sedikit masa lagi untuk tidur semula. Lebih kurang sejam tidur akan sekali lagi dibangunkan oleh emak untuk bersiap ke sekolah. Mandi di kolam di tepi rumah. Kesejukan mandi pagi sampai ke tulang hitam.

ILUSTRASI: Lat (The Kampung Boy).

Ketika itu tidak ada bekalan air paip ke kampung. Untuk mandi, air kolam digunakan. Untuk minum, memasak dan membasuh pakaian, menggunakan air hujan yang ditadah dalam tempayan. Kerana rumah penulis beratap nipah, air yang ditadah sedikit kekuningan.

Masalah timbul pada musim kemarau. Air kolam susut. Begitu juga air takungan dalam tempayan. Pada waktu ini terpaksalah penulis bergilir-gilir dengan abang menaiki basikal mengangkut air bersih menggunakan tong plastik. Air diambil daripada paip awam yang berbatu-batu jauhnya, di tepi jalan utama Bagan Datuk-Teluk Anson (Teluk Intan). Air inilah digunakan dengan penuh jimat untuk pelbagai tujuan.

Namun apabila waktu hujan, masalah juga. Jalan tanah di kampung becak dan menakung air. Dalam suasana seperti inilah penulis meredah kesejukan pagi dan lecah serta selut jalan untuk ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Mohamad. Jarak sehala kira-kira tiga batu (4.8 kilometer). Pergi balik bererti enam batu atau 9.6 kilometer. Penat dan dahaga sangat terasa.

Ketika matahari kian menurun dan waktu berbuka semakin hampir, emak akan sibuk pula di dapur memasak makanan dan membuat kuih untuk berbuka.

Tidak perlu membuat banyak kuih. Satu jenis sudah mencukupi. Yang satu itu nanti akan menjadi banyak dan pelbagai jenis. Hantar kuih ke dua tiga rumah jiran berhampiran. Penulis yang menjadi tukang hantar. Jiran akan membalas dengan kuih berlainan. Maka bertambahlah jenis kuih untuk berbuka.

Minuman biasanya mudah. Bapa suka air teh O panas. Yang lain suka minuman sirap dicampur selasih. Kalau hendak sejuk, kenalah beli ais ketul. Sekali lagi biasanya penulis lah yang menjadi tukang beli.

Jika hendak ais ketul, kena buat tempahan sehari sebelumnya kepada penjual yang juga penduduk kampung.  Boleh tempah sekupang (10 sen), dua kupang (20 sen). Jarang ada menempah lebih dari harga itu. Tempahan sekupang sudah cukup untuk satu keluarga.

Bungkah ais batu didatangkan dengan lori dari kilang di Teluk Anson. Dalam pukul 10 pagi, lori sampai ke jalan besar. Penjual mengambil dan menyimpannya di surau kampung yang menjadi pusat jualan.

Bungkah ais ini ditutupi dengan serbuk papan gergaji dan ditutup dengan guni tebal supaya tidak cepat cair. Sememangnya ia tahan hingga ke petang apabila bungkah ini dipotong menggunakan gergaji menurut saiz tempahan pembeli.

Ais ketul diserahkan kepada pembeli disalut dengan serbuk papan dan dibungkus dengan surat khabar. Apabila sudah dapat, elok segera balik. Jika tidak, bimbang nanti apabila sampai ke rumah hanya tinggal bungkusan!

Waktu berbuka, ayam jantan tidak berkokok. Paluan ketuk-ketuk di surau jadi penanda. Yang mempunyai radio boleh mendengar azan berkumandang. Sebelumnya lagu-lagu padang pasir akan ke udara sementara menunggu waktu berbuka.

Malam hari ayah ke surau untuk solat fardu dan solat sunat tarawih. Penulis pun tidak ingat ketika itu tarawih lapan atau 20 rakaat. Habis solat akan ada moreh. Tapi penulis jarang pergi kerana tidak tahan mengantuk, tambahan jika hari bersekolah.

Apabila ayah balik, penulis sudah lena. Lena ini berterusan sehinggalah ayam jantan sekali lagi berkokok pada awal pagi esoknya untuk kami meneruskan rutin harian di bulan Ramadan!

-BebasNews

Leave a Reply