Oleh AMREE AHMAD
GERAKAN Belia 4B Malaysia mahu pihak berkuasa lebih bertegas memastikan penyiaran video iklan iklan judi bersempena Hari Raya Puasa tidak berulang lagi pada masa depan.
Pengerusi Dakwah organisasi tersebut, Banyamin Rabiee berkata, peranan agensi terlibat amat perlu agar rakyat terutama umat Islam tidak hilang keyakinan kepada pihak kerajaan.
“Kami mendesak supaya polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) lebih proaktif bertindak tegas memastikan iklan seumpama itu tidak akan disiarkan lagi.
“Begitu juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang wajar lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sebagai merujuk isu penahanan lebih 20 individu terlibat dalam tiga video iklan Hari Raya yang mempromosikan aktiviti perjudian.
Rakaman itu yang disiarkan menerusi platform media sosial tempatan tular minggu lalu namun dikutuk umat Islam sebagai cubaan penghinaan agama tersebut semasa bulan Ramadan.
Mengulas lanjut, Banyamin berkata, pada masa sama Gerakan Belia 4B Malaysia menyeru anak muda Malaysia untuk menzahirkan tentangan secara besar-besaran dalam isu itu.
Mereka sepatutnya menekan pihak berkuasa supaya lebih pantas bertindak sebelum keadaan menjadi lebih teruk atau rakyat makin tidak lagi percaya kepada kerajaan,” tegasnya.
Beliau menambah, badan itu juga memandang serius ancaman cara baharu tersebut yang dibimbangi meracuni pemikiran generasi muda Islam di Malaysia untuk konon lebih terbuka.
Justeru, pergerakan tersebut mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi terhadap aktiviti perjudian secara total di Malaysia biar apa nama dan kaedahnya.
Tindakan syarikat judi itu ujarnya cuba menyemai idea masalah kewangan untuk menyambut lebaran boleh diselesaikan dengan berjudi, membawa niat jahat dan sangat mengelirukan.
“Maka, Gerakan Belia 4B Malaysia menyeru anak muda Islam agar tidak terpengaruh dengan sebarang aktiviti perjudian waima apa namanya supaya terpelihara daripada azab Allah.
“Sesungguhnya, desakan hidup bukan alasan cuba jenayah judi bentuk era baharu. Berusahalah dan berdoalah dengan ikhlas agar segala urusan dipermudahkan, insya Allah,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply