OLEH AHMAD ABD HAMID

MASIHKAH orang ramai menaruh harapan untuk kembali ke kampung halaman meraikan Hari Raya Aidilfitri? Tidak salah menaruh harapan walau pun sebenarnya harapan itu suram jika mengambil kira pandemik Covid-19 yang masih ganas melanda sekarang.

Angka jangkitan harian yang melonjak kembali kebelakangan ini sehingga mencecah 2,875 pada Khamis 22 April, angka tertinggi sejak dua bulan, bukan satu petanda baik untuk kembali berhari raya bersama kaum keluarga dan sanak saudara di kampung tercinta.

Dengan keadaan ini, kemungkinan rentas negeri tidak dibenarkan menjelang Aidilfitri memang hampir pasti. Kerana itu nampaknya pada tahun ini umat Islam di negara ini akan sekali lagi merayakan Aidilfitri dalam keadaan ‘berkurung’ di rumah sendiri.

Bolehlah menyambut lebaran bersama keluarga sendiri atau berkumpul dan bergerak menurut kebenaran had jumlah boleh berkumpul dan jarak rentas dibenarkan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Lupakan sahaja environment kampung yang diimpikan.

Sedarkah orang ramai bahawa punca utama tipisnya harapan untuk balik berhari raya di kampung ini adalah kerana salah sendiri? Merekalah yang menyebabkan angka jangkitan harian terus meningkat. Kenapa? Kerana ramai telah menjadi manusia degil dan tidak berdisiplin, yang sering kali dan berulang kali mengabaikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Lihatlah sahaja contoh di bazar Ramadan. Ramai datang berpusu-pusu dengan mengabaikan SOP. Penjarakan fizikal langsung diabaikan. Mereka bebas bergerak bergesel bahu dan badan. Dalam keadaan seperti ini, peluang mereka dijangkiti atau menjangkiti sangat tinggi.

Ramai pula menganggap SOP itu hanya bebanan yang merimas dan menyusahkan. Walau pun sudah penat diperingatkan dari semasa ke semasa bahawa ia adalah untuk keselamatan dan perlindungan orang ramai sendiri, mereka tetap memandang ringan.

Untuk menunjukkan betapa seriusnya pematuhan kepada SOP seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, kompaun dikenakan kepada yang ingkar. Matlamatnya adalah supaya  orang ramai beringat dan patuh.

Dalam keadaan begini, haruskah menyalahkan kerajaan jika rentas negeri tidak dibenarkan pada hari raya?

Namun masih ramai tetap tidak peduli dan menganggap kompaun itu perkara kecil. Tetapi apabila sudah di kompaun pandai pula melalak dengan memberi pelbagai alasan tidak patut di kompaun. Baru merungut tidak mampu membayar denda tinggi. Bukanlah peringatan sudah diberi?

Dalam keadaan begini, haruskah menyalahkan kerajaan jika rentas negeri tidak dibenarkan pada hari raya? Patutkah menyalahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Tidak mahukah menyalahkan diri sendiri?

Perhatikan dan hayati fakta ini. Kementerian Kesihatan membuat unjuran Malaysia boleh mencatat lebih 3,000 kes baharu Covid-19 sehari menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan sekiranya SOP terus diabaikan.

Pada Khamis 22 April angka jangkitan sudah pun mencecah 2,875, jumlah tertinggi untuk tempuh dua bulan.  Menjelang akhir Mei, anggaran kes baharu sehari ialah 5,000 jika SOP tetap tidak dipedulikan.

Bagaimanapun, kes jangkitan sehari boleh turun kepada 500 menjelang hari raya jika SOP diamalkan dengan ketat. Menjelang hujung Mei angka jangkitan boleh turun kurang daripada 500 jika orang ramai tetap patuh kepada SOP.

Apakah yang diserlahkan oleh unjuran ini? Ia menjelaskan betapa aspek pematuhan kepada SOP memainkan peranan sangat penting dalam mengekang penularan Covid-19. Bayangkan unjuran 3,000 kes sehari jika tidak patuh SOP menurun kepada 500 jika patuh SOP. Malah ia boleh turun di bawah 500 kes.

Apakah orang ramai tidak mahu angka penurunan ini dicapai, yang boleh mencerahkan saki baki secebis harapan yang masih ada untuk boleh balik berhari raya di kampung?

Semuanya terletak di tangan kita sendiri. Antara mahu dengan tidak mahu. Tetapi jika tetap ingkar dan meremehkan SOP, lupakan sahaja hasrat untuk balik kampung. Berhari rayalah seperti tahun lalu, sambil menikmati lagu ‘Dendang Perantau’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

-BebasNews

Leave a Reply