GAMBAR: BBC.

 

Oleh Zainal AS Rashid

SISTEM kesihatan di India tidak lagi mampu menerima pesakit susulan lonjakan serius kes Covid-19 yang menyebabkan jumlah katil dan bekalan oksigen tidak mencukupi.

Sesetengah pesakit terpaksa dibiarkan hingga beberapa jam, sementara di luar hospital ahli keluarga merayu-rayu supaya mereka diberikan keutamaan, lapor bbc.com.

Lebih menyayat hati apabila angka kematian yang begitu tinggi memaksa mayat pesakit dibakar secara berkumpulan.

Pada Jumaat lalu sebanyak 332,730 kes baharu dilaporkan, justeru mencacatkan rekod tertinggi dunia dua hari berturut-turut dengan 2,263 kematian dalam 24 jam.

Menurut Dr Atul Gogia di Sir Ganga Ram Hospital Delhi , jumlah pesakit yang terlalu tinggi tidak lagi mampu diuruskan oleh wad kecemasan.

Beliau berkata tidak putus-putus pesakit dibawa masuk, sesetengah membawa unit bekalan oksigen sendiri, tetapi bagi yang tidak berkemampuan tiada apa dapat dilakukan kerana hospital sendiri tidak mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi.

Talian telefon semuanya sesak kerana jumlah panggilan begitu tinggi bagi mendapatkan bantuan dan nasihat.

Dr Atul berkata walaupun sukar mereka tiada pilihan selain discaj pesakit yang dianggap stabil seawal mungkin bagi membolehkan kemasukan pesakit lain.

Dalam pada itu setiap kelengkapan untuk menyelamat nyawa semakin berkurangan atau pun hanya boleh dibeli melalui pasaran gelap dengan harga terlalu tinggi.

Setiap keluarga diselubungi ketakutan seolah-olah virus menanti di luar pintu rumah dan bangunan-bangunan pencakar langit dijadikan ‘zon pembendungan’ kerana terlalu banyak jangkitan.

Mahkamah Persekutuan India menyifatkan tragedi yang berlaku ini sebagai satu ‘Darurat Nasional’.

-BebasNews

Leave a Reply