FOTO: Maksym Kozlenko, CC BY-SA 4.0 , via Wikimedia Commons.

Oleh Fetty Rara

JIKA ke Itali mungkin anda pernah mengambil gambar sekurang-kurang satu jenis aiskrim gelato untuk dipaparkan di laman Instagram.

Aiskrim gelato terkenal di Itali hinggakan dianggap sebagai antara warisan ikonik budaya makanan di negara itu.

Disebabkan populariti dan identiti yang sinonim dengan Itali kerajaan negara itu telah menetapkan piawaian bagi produk gelato yang tulen.

Maka itu, senator Riccardo Nencini berkata kerajaan sedang mempertimbangkan peraturan untuk membanteras penjualan gelato bermutu rendah, termasuk yang menggunakan bahan tiruan, lapor akhbar The Telegraph.

Ke arah matlamat tersebut, enam senator dari parti Italia Viva telah mencadangkan rang undang-undang supaya pembuat aiskrim yang memasukkan terlalu banyak udara ke dalam gelato bagi menjadikannya gebu dan lembut, memasukkan bahan tiruan, pewarna sintetik dan lemak diproses akan dikenakan tindakan.

Jika diluluskan, undang-undang baharu itu hanya akan membenarkan penggunaan susu, produk susu, telur dan buah-buahan segar.

Pelanggaran undang-undang tersebut boleh membawa denda sehingga RM49,000 (€10,000).

FOTO: Wikimedia Commons.

Menurut Senator Nencini aiskrim Itali adalah antara simbol gastronomi Itali yang diiktiraf antarabangsa bersama pizza dan pasta, namun demikian undang-undang negara itu tidak mewujudkan piawaian tetap ke atas pengeluaran gelato.

Akhbar Il Messaggero melaporkan bahawa di bawah keadaan sekarang kebanyakan aiskrim Itali buatan tangan mengandungi 20 hingga 30 peratus udara yang dihasilkan melalui proses adunan pelbagai bahan, sementara versi industri pula menggunakan udara termampat mengandungi sehingga 80 peratus udara.

Oleh itu, apa yang dibayar oleh pelanggan sebenarnya ialah harga udara.

Ini akan berubah di bawah undang-undang baharu yang membenarkan penggunaan maksimum 30 peratus udara dalam gelato.

Bagi Stefano Ferraro yang dianggap antara 50 pembuat aiskrim terkemuka di Itali, undang-undang baharu itu amat dinantikan bagi melindungi tradisi dan warisan pembuatan aiskrim gelato sebenar, justeru membezakan yang asli dan yang tidak.

Seorang lagi pembuat gelato terkenal, Alberto Manassei pula berpendapat jenis aiskrim ‘segera’ hanya menjadi masalah apabila bahan-bahan asas tradisi tidak diutamakan dalam proses pembuatan.

Rang udang-undang tersebut kini berada di peringkat suruhanjaya pelancongan dan perdagangan.

Apabila dikuatkuasakan nanti gambar aiskrim gelato Itali yang sering kali dimuat naik ke Instagram tidak lagi akan kelihatan menarik, tetapi semakin lazat.

-BebasNews

Leave a Reply