FOTO: User:Two hundred percent., CC BY-SA 3.0 , via Wikimedia Commons.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

ISU pajakan Sekolah Convent Bukit Nanas, lebih dikenali sebagai CBN, yang tamat tempoh pada September ini sudah selesai. Kerajaan Persekutuan bersetuju menyambung tempuh pajakan sekolah selama 60 tahun. Sebelum ini Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan menolak permohonan tersebut.

Selesai isu ini. Tetapi satu lagi isu yang wajar diberi perhatian ialah usaha mewartakan sekolah tersebut sebagai tapak warisan. Usaha yang sebelum ini pernah dibuat oleh kerajaan gagal kerana dibantahi oleh Lembaga Pemegang Amanah (LPA) sekolah.

Convent Bukit Nanas yang diasaskan pada 1899 dan berpindah ke tapaknya sekarang pada 1909, adalah antara sekolah mubaligh (missionary schools) tertua dan terkenal di ibu negara. Sekolah untuk wanita ini juga mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster daripada Kementerian Pendidikan.

Populariti CBN setanding dengan sekolah mubaligh lain di ibu negara, seperti St John’s Institution, Sekolah Kluster yang juga terletak di Jalan Bukit Nanas, dan Victoria Institution (VI). CBN telah melahirkan ramai cerdik pandai sehingga menjadi pemimpin negara atau tokoh korporat.

Dalam usia mencecah 122 tahun, CBN tetap utuh sebagai sekolah berprestij dan bersejarah, seni binanya antik dan ikonik. Memang sangat sesuai ia dipertahankan sebagai tapak warisan.

Tetapi LPA sekolah tidak berfikiran begitu. Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Nancy Shukri, Jabatan Warisan Negara (JWN) telah berusaha untuk mewartakan CBN sebagai tapak warisan sejarah sejak 2008 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Pada tahun yang sama, JWN memulakan proses mengumpul maklumat dan dokumen berkaitan. Bagaimana pun, separuh jalan, usaha ini terhenti apabila mendapat bantahan LPA sekolah. Pada 2010 lembaga berkenaan mengemukakan nota bantahan kepada Pesuruhjaya Warisan. Perbicaraan diadakan pada April 2011.

Ekoran itu pada Julai 2011, selepas membuat pertimbangan dan melalui perbincangan teliti, Pesuruhjaya Warisan memutuskan untuk tidak meneruskan usaha mewartakan sekolah tersebut sebagai tapak warisan.

Malah menurut Pengarah PTG, Muhammad Yasir Yahya, penolakan permohonan melanjutkan pajakan CBN bertujuan membantu, memulihara serta membiayai sekolah berkenaan setelah pajakan berakhir.

Ertinya tidak maksud tidak baik di sebalik penolakan sambungan pemajakan, jauh sekali merobohkan bangunan bersejarah itu. Sebaliknya ia adalah untuk memastikan CBN terus berdiri kukuh sebagai institusi pendidikan yang mendapat bantuan penuh kerajaan dan dengan itu memperoleh banyak manfaat.

Kenapa Lembaga Pemegang Amanah CBN tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan? Adakah mereka bimbang sekolah akan terlepas daripada pegangan mereka? Ini andaian tidak munasabah kerana Nancy telah menjelaskan pewartaan sekolah itu adalah untuk tujuan memulihara, mempertahan serta melindungnya.

Langkah ini sama sekali tidak menjejaskan pemilikan, pengawalan dan pentadbiran sekolah. Sebaliknya ia akan memastikan CBN akan terus berdiri dan terpelihara. Tidak akan timbul lagi isu pajakan pada masa hadapan. Tidak ada kebimbangan sekolah dipindah atau dirobohkan. Kerajaan hanya mahu memberi status sewajarnya kepada CBN.

Kini desakan yang mahu CBN diwartakan untuk menjadi mercu sejarah institusi pendidikan kembali bergema ekoran isu pajakan baru-baru ini. Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Ali Hassan, menekankan pentingnya sekolah itu diwartakan sebagai warisan kebangsaan. Tambahan, belum ada premis warisan pendidikan di ibu negara.

Perkara ini sepatutnya membuka mata LPA untuk menukar fikiran. Barangkali kerajaan juga perlu bertegas dalam isu ini. CBN perlu diwartakan segera. Tiada pihak yang rugi apa-apa. Malah kelebihannya adalah untuk sekolah.

CBN bukan sahaja berjasa kepada penduduk ibu kota. Malah ia juga berjasa memberi peluang pendidikan kepada anak-anak luar bandar yang cemerlang dalam pelajaran untuk datang melanjutkan pelajaran ke sekolah berkenaan selepas Darjah Enam, melalui program dikenali sebagai ‘Rancangan Khas’ pada tahun 70-an.

Mereka bukan sahaja memperoleh pendidikan di sekolah ternama tetapi didedahkan kepada kehidupan bandar pada usia muda. Pelajar-pelajar ini antaranya diletakkan di Asrama Puteri, Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

Bagi pelajar lelaki yang terpilih melalui skim sama, mereka belajar di St John’s Institution atau Victoria Institution (VI). Mereka tinggal sama ada di Asrama Rahman Talib, Sekolah Tinggi Setapak atau Asrama Dr. Latiff.

Sekolah mubaligh seperti CBN memainkan peranan penting mewarnai sistem pendidikan negara. Kita sendiri mahu sekolah-sekolah seperti ini terus beroperasi. Namun perubahan masa menuntut perubahan. Biarlah CBN menjadi sebuah warisan, dijaga dan dibantu dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan.

-BebasNews

Leave a Reply