Oleh Zainal AS Rashid
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba telah menasihatkan penjual burger yang dikompaun RM50,000 supaya merujuk kes yang dihadapinya kepada Kementerian Kesihatan.
Menurut beliau kementerian boleh mempertimbangkan untuk memberi diskaun atau pun pengecualian.
Dalam satu kenyataan semalam Dr Adham berkata pihaknya memandang serius kes tersebut susulan reaksi yang tercetus dalam kalangan orang ramai, dan melihatnya sebagai sesuatu yang perlu ditangani segera.
Pada Ahad lalu peniaga berkenaan, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana berniaga burger di gerainya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Baru melebihi pukul 10.00 malam, justeru telah melanggar peraturan di bawah perintah kawalan pergerakan.
Bagaimana pun, Wan Mohd Faisal mendakwa bahawa pada waktu itu tiada pelanggan di gerainya apabila didatangi beberapa anggota polis.
Beliau juga berkata pada masa yang sama semua meja digerainya telah dilipat dan dia pula sedang menyiapkan pesanan untuk pekerja kilang.
Ketua Polis Kota Baru Abdul Rahim Daud berkata Wan Mohd Faisal juga telah melanggar SOP kerana gagal menyediakan alat pengimbas suhu.
Oleh yang demikian memandangkan dia telah melakukan beberapa kesalahan maka jumlah kompaun dinaikkan kepada RM50,000.
Dilema yang dihadapi oleh peniaga burger itu telah mengejutkan orang ramai dalam media sosial kerana dianggap melampau.
Bagi Dr Adham tindakan kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan mengeluarkan saman bagi pelanggaran PKP ialah untuk mendidik dan bukan menghukum.
Beliau berkata usaha untuk mengekang penularan Covid-19 memerlukan kerjasama penuh orang ramai bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.
Menurut beliau lagi bagi sesiapa yang dikenakan kompaun dan berasa tidak sepatutnya, mereka sentiasa diberikan peluang untuk membela diri.
-BebasNews