Oleh Yusoff Ahmad Shariff

DI KALA krisis Covid-19 semakin mencengkam India pada penghujung bulan lalu, beberapa negara telah bergegas mengumpul dan menghantar bekalan perubatan kecemasan bagi meringankan beban negara itu.

Berikutan itu berpuluh pesawat sarat membawa alat bantuan pernafasan, ubat dan peralatan oksigen mencurah tiba di India dari banyak negara, termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat sepanjang minggu.

Pada Ahad lalu sejumlah 25 penerbangan membawa lebih 300 tan bekalan tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Delhi, lapor bbc.com.

Bagaimana pun, semakin meningkat jumlah kes di serata negara itu, semakin ketara kebimbangan berhubung kelewatan penghantaran bantuan kepada pihak yang amat memerlukan.

Kargo yang tiba didapati tersadai beberapa hari di lapangan terbang, sementara hampir semua hospital terus merayu meminta dipercepatkan penghantaran bantuan.

Menurut pegawai negeri bantuan hanya mula diagihkan pada lewat Isnin – lebih seminggu selepas ketibaan kargo pertama.

Pihak kerajaan pusat berkeras menafikan berlaku kelewatan, dan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Selasa berkata bahawa satu mekanisme sistematik digunakan bagi pengagihan bekalan.

Namun demikian realitinya di lapangan krisis bekalan bantuan terus meruncing.

-BebasNews

Leave a Reply