Oleh Fetty Rara

KERAJAAN India berkata ‘varian mutan berganda’ Covid-19 yang pertama kali dikesan pada Mac lalu mungkin punca berlakunya gelombang kedua.

Ini kerana beberapa sampel mengandungi mutan tersebut, iaitu B.1.617 didapati menular di beberapa negeri yang mencatatkan jumlah kes tinggi, lapor bbc.com.

Seorang pegawai di Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan bagaimana pun berkata bahawa pihaknya masih belum memastikan kaitan sahih dengan mutan tersebut.

Varian mutan berganda berlaku apabila dua mutasi bercantum pada virus yang sama.

Sementara itu, India telah melaporkan jumlah rekod sebanyak 412,000 kes dalam masa 24 jam pada Rabu (5 Mei), dengan 3,980 kematian.

Keadaan tersebut telah mencetuskan amaran oleh penasihat saintifik tertinggi kerajaan India bahawa gelombang ketiga tidak lagi dapat dielakkan.

Bercakap pada satu sidang media kementerian kesihatan, K.VijayRaghavan mengaku bahawa para pakar tidak menjangkakan betapa ganasnya lonjakan kes kali ini.

Beliau berkata melihat kepada tahap tinggi virus yang menular maka gelombang ketiga tidak dapat dielakkan, tetapi bila dan sejauh mana ia menular masih tidak dapat dipastikan.

Lonjakan terkini Covid-19 sejak beberapa kebelakangan ini hampir melumpuhkan sistem kesihatan, dengan katil, bekalan oksigen dan ruang membakar mayat mangsa semakin berkurangan.

Walaupun beberapa negeri telah diletakkan di bawah perintah ‘lockdown’ ketat dan perintah berkurung, namun kerajaan masih tidak bersedia untuk memperluaskannya ke seluruh negara kerana bimbang kesan terhadap ekonomi.

-BebasNews

Leave a Reply