Oleh Yusoff Ahmad Shariff
AIN Husniza Saiful Nizam, remaja di sebalik pergerakan #MakeSchoolAsaferPlace telah menerima surat amaran buang sekolah.
Dalam tweet yang diterimanya pada kira-kira pukul 1.00 pagi Ahad (9 Mei), Ain berkata dia menerima surat amaran kerana tidak hadir ke sekolah selama tiga hari, lapor The Star.
Ain yang menggunakan pengenalan @ant33ater dalam Twitter berkata dia berasa kecewa kerana sekolah yang dicintai bertindak demikian hanya kerana dia tampil bersuara.
Baru-baru ini remaja berusia 17 tahun itu mendedahkan seorang guru lelaki di sekolahnya ‘berjenaka’ secara menjijikkan dan berbahaya tentang rogol.
Menurut Ain, pada hari surat tersebut dihantar, iaitu pada hari ayahnya bertemu dengan guru besar, beliau menyatakan sokongan di atas tindakan remaja itu, tetapi mengambil tindakan ke atasnya pada hari yang sama.
Ain mempersoalkan mengapa dia dihukum kerana memberikan pendapat sendiri yang kebetulan diajar oleh guru di sekolahnya.
Dia bertanya sama ada segala itu hanya luaran yang dangkal, dan di mana dia sebagai pelajar patut berasa selamat sekarang setelah mendapat surat amaran akan dibuang sekolah kerana menyatakan sesuatu yang benar.
Ain seterusnya berkata guru dan pelajar lelaki yang membuat ugutan rogol tidak dikenakan tindakan, tetapi sebaliknya dia pula yang akan dibuang sekolah dan seterusnya memusnahkan kehidupannya.
Ain mengkritik para pendidik yang menyembunyikan perkara sedemikian dan menutup mulut pelajar. Dia menggesa supaya dilakukan reformasi sistem pendidikan bagi mengelakkan masalah sebegitu berulang.
Pada hari yang sama, ayah Ain Saiful Nizam Abdul Wahab telah memuat naik beberapa tangkap layar komen-komen di Facebook yang menurutnya dibuat oleh seorang wanita.
Melalui poster di forum dalam talian ‘Speak Up’ wanita itu berkata Ain seorang munafik dan anak perempuan yang biadab apabila dia memakai hijab.
Ain dikatakan munafik, anak syaitan memakai hijab dan ayahnya diminta mengajar anaknya yang biadab itu.
Saiful yang berkongsi gambar-gambar profil Facebook wanita itu bertanya di manakah adabnya walaupun marah dan siapa yang sebenarnya biadab.
-BebasNews