Ustaz Zoul tampil dengan single Ahlan Ya Ramadan.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

NAMA Ustaz Zoul atau Hazizul Masdin, sudah sinonim kepada penduduk sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, kerana beliau adalah bilal masjid tersebut.

Dalam sehari, lima kali orang ramai mendengar suara Ustaz Zoul melaungkan azan kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai bilal sejak 2016 di masjid berkenaan.

Kini, orang ramai bukan setakat mendengar Hazizul atau mesra dengan panggilan Ustaz Zoul, 38, melaungkan azan tetapi juga boleh mendengar beliau menyanyi.

Ini adalah realiti dan bukan fantasi kerana Ustaz Zoul telah melancarkan single pertamanya yang berjudul Ahlan Ya Ramadan dengan kerjasama komposer Daqmie (Azmee Abdul Manap), baru-baru ini.

Kalau tak percaya, carilah single Ahlan Ya Ramadan dendangan beliau di semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Kesempatan untuk merakam lagu terjadi apabila beliau bertemu dengan Daqmie yang juga seorang penyanyi terkenal yang banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir bagi rakaman lagu-lagu nasyid dan kerohanian.

“Sebenarnya, sewaktu bertemu dengan Daqmie, saya berhasrat nak minta dia buatkan susunan muzik untuk saya buat lagu cover sempena Ramadan. Dia pula mencadangkan kepada saya supaya mengeluarkan single sendiri untuk Ramadan ini daripada buat cover.

Ustaz Zoul juga adalah vokalis kepada kumpulan Dvision.

“Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, saya tak fikir lama dan terus bersetuju dengan cadangan Daqmie. Lagu Ahlan Ya Ramadan adalah ciptaan sepenuhnya daripada saya, termasuk liriknya,” katanya yang tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan lirik berkenaan.

Bercerita tentang pengalamannya merakam lagu di studio rakaman Tarbiah Sentap, Shah Alam, jelas Ustaz Zoul, disebabkan lagu itu ciptaannya maka tidak ada masalah untuk beliau menghayati sewaktu rakaman dengan bimbingan daripada Daqmie.

Beliau juga menjelaskan, penulisan lirik bukanlah satu perkara baharu kepadanya kerana sebelum ini, beliau kerap menghasilkan lirik lagu ciptaan sendiri untuk didendangkan bersama kumpulan Dvision bila mengadakan persembahan.

Tambah Ustaz Zoul, Ahlan Ya Ramadan yang menampilkan genre nasyid itu adalah lagu yang menjurus kepada irama padang pasir dan berentak rancak bagi memeriahkan suasana Ramadan.

Manakala, video muzik lagu tersebut menjalani penggambaran di sekitar Masjid Negeri dan suasana padang pasir pula dirakam di Melaka.

“Ahlan Ya Ramadan adalah single solo pertama saya. Sebenarnya, saya adalah anggota dan ketua kumpulan nasyid Dvision tapi kami belum pernah menghasilkan lagu rakaman. Semua lagu ciptaan saya untuk Dvision sekadar untuk persembahan sahaja.

“Alhamdulillah sebelum saya keluarkan single solo ini, saya terlebih dahulu berbicara dari hati ke hati dengan sahabat lain dalam kumpulan kerana saya bukan keluar daripada Dvision, sekadar nak keluarkan single untuk diri sendiri,” katanya.

Tatkala ditanya, bagaimana beliau membahagikan masa antara kerjaya sebagai penyanyi nasyid dan tanggungjawabnya sebagai bilal, beliau berkata, tiada masalah.

“Sebenarnya bernasyid dan tugasan saya sebagai bilal ada kaitan dan kesinambungan. Ketika saya sertai nasyid di situlah saya belajar bab vokal, bagaimana nak mengawal suara dan pastikan suara kita dalam keadaan baik dan perkara tersebut dipraktikkan juga dalam tugasan sebagai bilal.

“Dua-dua itu saling berkait rapat dan berkaitan dengan seni suara. Setakat ini tiada masalah kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai bilal dan pada masa yang sama saya juga bergelar penyanyi nasyid,” jelasnya yang aktif di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan YouTube.

Bagi Ustaz Zoul, beliau percaya nyanyian juga merupakan salah satu cabang untuk menarik perhatian orang di luar sana untuk mendekati agama Islam.

Lagu juga boleh dijadikan medium untuk berdakwah.

Tegasnya, dalam usaha untuk mengembangkan dakwah, bukan sahaja tertakluk kepada ceramah, percakapan atau berhujah sahaja, sebaliknya nyanyian juga merupakan satu metadologi untuk berdakwah.

“Kerapkali nyanyian ini lebih mudah untuk orang menerima dan memahami kerana semua orang suka kepada keindahan lagu dan semua orang suka kepada bunyi-bunyian. Jika dengan nyanyian ia lebih menusuk hati dan menyentuh perasaan orang untuk menerima apa yang ingin kita sampaikan, tak ada masalah untuk berdakwah dengan cara itu.

“Mudah-mudahan mereka yang mendengar lagu ini dapat bersedia lebih awal dan menghayati kehadiran Ramadan yang setahun sekali ini. Mungkin ini adalah Ramadan terakhir dalam hidup kita.

“Diharap lagu ini dapat memberikan mereka persediaan awal untuk merancang apakah yang akan mereka buat sewaktu Ramadan,” katanya tentang single yang diedarkan oleh Saudagar Seni itu.

-BebasNews

Leave a Reply