IPD Petaling Jaya
Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR–Gara-gara hendak merentas negeri seorang lelaki sanggup menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP) untuk mendapatkan kelulusan tersebut.

Warga emas yang berusia 65 tahun itu mengaku dirinya ACP bergelar Datuk ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar pukul 9 malam untuk membuat permohonan tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, bagi membuktikan diri sebagai pegawai kanan polis, suspek turut menunjukkan gambar berpakaian lengkap dengan seragam polis melalui skrin telefon bimbitnya.

Menurutnya, musykil dengan perkara tersebut, seorang anggota yang bertugas meminta suspek mengemukakan sebarang dokumen, namun suspek gagal berbuat demikian.

“Berikutan itu, sepasukan polis dari IPD berkenaan memberkas suspek kerana gagal mempamerkan sebarang identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai seorang penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesalahan menyamar sebagai penjawat awam adalah kesalahan serius dan tindakan lebih tegas akan dikenakan sekiranya ada pihak cuba untuk menyamar dan memalsukan dokumen bagi permit rentas negeri.

“Pihak IPD Petaling Jaya mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat agar sentiasa mematuhi syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan,”katanya.-BebasNews

Leave a Reply